Toyota Land Cruiser tampil dengan enjin D-4D 2.8L baharu – Hamburan kuasa 174hp & 420 Nm
Toyota UK telah melancarkan model Land Cruiser 2015 yang dipadankan dengan enjin D-4D 2.8L baharu. Ia boleh didapati pada dua pilihan kerangka iaitu tiga- dan lima-pintu.
Enjin baharu ini adalah bagi menggantikan enjin terdahulu iaitu diesel 3.0 liter. Di mana enjin D-4D 2.8L ini memberikan tork yang lebih cemerlang dan juga mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi CO2 sehingga 9%. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 174 hp dan tork 420 Nm.
Ia juga dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan pilihan automatik enam-kelajuan yang mampu memberikan tork yang lebih iaitu sehingga 450 Nm. Jika memilih transmisi automatik, model lima-pintu Toyota Land Cruiser 2.8-liter D-4D ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 7.2 liter per km.
Selain menerima enjin baharu, Land Cruiser ini turut didatangkan dengan radio digital DAB dan juga sistem hiburan Toyota Touch 2 with Go dengan skrin sesentuh termasuk fungsi navigasi. Jika mempertingkatkan versi Icon, akan menerima Toyota Touch 2 with Go Plus dengan fungsi pengesan arahan suara dan peta bandar 3D.
Bagi pek keselamatan pilihan pula, ia menawarkan Kawalan Kelajuan Adaptif, Bantuan Menukar Lorong, Keselamatan Pra-Pelanggaran, Paparan Titik Buta, Amaran Trafik di Belakang dan Paparan Pelbagai-keadaan jalan.
Manakala sebagai tambahan, pek pelindungan bagi model lima-pintu turut ditawarkan termasuk plat pelindungan bampar belakang, side mouldings dan trunk liner.
Ia mula berada di pasaran UK pada 1 Julai ini dan ditawarkan pada harga £35,895 (RM212,070) bagi versi tiga-pintu Active dengan transmisi manual enam-kelajuan. Manakala untuk model lima-pintu Invincible dengan transmisi automatik enam-kelajuan pula berharga £54,895 (RM324,324).
Toyota Land Cruiser spesifikasi UK