Mercedes-AMG GT S sudah mendarat di Malaysia – Harga bermula RM1.15 juta
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru sahaja melancarkan Mercedes-AMG GT S untuk pasaran Malaysia beberapa hari lalu.
Dijanakan oleh enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8, Mercedes-AMG GT S mampu menghasilkan kuasa sehingga 510 PS pada 6,250 rpm dan tork setinggi 650 Nm pada 1,750-4,750 rpm.
Kuasanya disalurkan menerusi roda belakang dengan anjakan daripada transmisi klac-berkembar AMG Speedshift tujuh-kelajuan, yang mampu memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya 3.8 saat sahaja. Jentera ini juga mampu memecut sehingga kelajuan 310 km/j.
GT S ini dijual pada harga bermula RM1,150,000 dan RM1,200,000 bagi unit edisi terhad Edition 1.Kedua-dua harga tersebut adalah harga atas jalan, termasuk GST dan tanpa insurans.
Elemen standard tang melengkapi jentera ini termasuklah ekzos prestasi AMG, Kawalan Pengendalian Pembolehubah Redaman AMG, dan penguncian elektronik. Bagi Edition 1, akan mendapat tambahan Pakej Dinamik.
Selain enjin dan transmisi yang berdinamik, GT S ini turut ditampilkan dengan sistem mod Race bagi sistem Pemilihan Dinamik AMG, suspensi yang lebih keras dan roda stereng yang lebih sensitif.
Bagi Edition 1 pula, pakej aerodinamik berwarna hitam ditampilkan, termasuklah pemisah hadapan yang lebih besar, gerbang roda hadapan, kekemasan berwarna hitam bagi side sill, sayap belakang yang lebih lebar, bumbung gentian karbon, pakej luaran “Night” (gril berlian hitam berkilat, cermin sisi, sayap belakang dan paip ekzos berkembar) dan kekemasan hitam pada rim.