Honda BR-V – SUV bajet 7-tempat duduk bakal diperkenalkan tidak lama lagi
Honda sememangnya memenuhi cita rasa ramai dan terbaru syarikat automotif gergasi Jepun ini bakal memperkenalkan model SUV bajet tujuh-tempat duduk di Gaikindo Indonesian International Auto Show 2015 pada Ogos ini. Ia diberi nama BR-V atau ‘Bold Run-about Vehicle’ sesuai bagi keluarga ‘besar’ tetapi tidak memiliki bajet yang ‘besar’ untuk membeli SUV atau MPV yang lebih ‘besar’.
Tidak banyak info yang diperoleh, namun BR-V ini kelihatan dibina berdasarkan model MPV Mobilio, seperti mana HR-V yang menggunakan Jazz sebagai platform.
Walau bagaimana pun, Honda berkata BR-V ini akan mewakili “generasi baharu bagi kenderaan utiliti crossover” dengan rekaan luaran yang nampak mantap dan solid. BR-V ini dikatakan bakal dijanakan oleh enjin 1.5 liter, namun Honda berkata ia akan menawarkan “prestasi yang sporty” dan “penjimatan bahan api yang terbaik”.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BR-V ini, kenalah tunggu penampilan perdananya di Indonesia pada Ogos akan datang.