30-mata percuma untuk pemeriksaan kenderaan Proton sempena Aidilfitri
Proton bakal menawarkan 30-mata percuma pemeriksaan kenderaan modelnya yang dihantar ke pusat servis bertauliah di seluruh negara untuk diselenggara. Ini merupakan sebahagian daripada kempen Hari Raya yang dijalankan bagi membantu meningkatkan kesedaran di kalangan para pemilik kenderaan Proton mengenai pentingnya penyelenggaraan kereta.
Ia meliputi pemeriksaan tahap cecair penting, keadaan bilah pengilap, suspensi, penyambungan stereng dan sistem ‘ball joint’ berserta sistem penyejuk, minyak dan brek.
“Sebagai pengeluar kenderaan, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mendidik dan mempromosikan kesedaran keselamatan kepada para pelanggan, terutamanya dalam menyokong usaha kerajaan bagi mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah,” ujar CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah.
Bukan itu sahaja, para pelanggan yang membawa kenderaan mereka untuk diperiksa juga akan menerimas diskaun bagi alat ganti dan konsultasi percuma bagi beberapa aspek penyelenggaran termasuk bagaimana membezakan alat ganti tulen dan tiruan.
Proton juga akan mengadakan pemerikaan dengan 30-mata percuma ini di beberapa stesen Petronas terpilih bagi sesiapa yang tidak boleh membawa kenderaan Proton masing-masing ke pusat servis. Antara stesen Petronas yang mengambil bahagian iaitu Stesen Petronas Damansara di KM 15.3 di Lebuhraya NKVE dari 9 hingga 11 Julai ini.
Manakala dari 13 hingga 15 Julai pula, empat stesen Petronas yang bakal mengambil bahagian iaitu di Petronas Juru, Penang, Petronas Tok Giring, Terengganu, Petronas R&R Lebuhraya Pantai Timur, Gambang, Pahang dan Petronas Seremban, Negeri Sembilan. Malah pemilik kenderaan Proton terbabit juga akan membawa pulang beg cenderahati dan banyak lagi.
Dalam masa yang sama, Proton juga akan meneruskan kempen “Even More Value” dengan promosi serendah 1.99% kadar faedah setahun bagi model Saga dan Iriz. Selain itu, ia turut menawarkan skim pinjaman 100% kepada kakitangan kerajaan dan tawaran hebat bagi lepasan graduan sehingga 26% untuk pakej servis bagi model Proton yang terpilih.