Petronas ajak rakyat Malaysia berkongsi memori Raya
Sejak bertahun lamanya, Petronas tidak pernah gagal di dalam menghasilkan filem pendek atau pun iklan sempena perayaan termasuklah sambutan Hari Raya. Boleh dikatakan kesemua iklan yang dihasilkan memiliki mesej yang sangat menusuk jiwa dan mempunyai nilai murni yang boleh dijadikan antara contoh terbaik dalam kehidupan.
Bagi tahun ini, ada sedikit kelainan yang mahu ditonjolkan menerusi kempen sempena Hari Raya Aidilfitri dan bakal mengeluarkan filem pendek mengenai sambutan perayaan ini. Menerusi kempen ini, Petronas mengajak rakyat Malaysia untuk berkongsi memori Hari Raya bersama-sama. Jika kisah Hari Raya anda terpilih, ia akan dijadikan filem pendek untuk disiarkan pada musim Raya ini.
Menurut Liz Kamaruddin, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Strategi Kumpulan, kempen Raya kali ini akan mengambil pendekatan yang berbeza.
“Kami mahukan pembabitan rakyat Malaysia di dalam kempen ini. Di Petronas, kami percaya, kita semua memiliki memori dan pengajaran secara individu, yang menentukan kita seperti hari ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Petronas percaya menerusi kempen ini, ia akan memberikan inspirasi buat rakyat Malaysia bagi menghargai kisah peribadi mereka serta berkongsi dengan orang lain.
Kempen ini mengajak semua rakyat Malaysia tidak kira latar belakang, untuk berkongsi memori Hari Raya, terbuka mulai sekarang sehingga 3 Julai ini. Hantarkan penyertaan anda menerusi e-mel ke digital.comm@petronas.com.my atau menggunakan laman media sosial termasuk Facebook, Twitter, Google+ atau Instagram dengan hashtag #RayaTreasures.