CEO Peugeot sebar 2 foto 308 R HYbrid di Twitter
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Peugeot, Maxime Picat, telah menyiarkan dua foto model 308 R HYbrid menerusi laman Twitter.
Foto ini menunjukkan Pengerusi PSA, Carlos Tavares, memasuki kabin model ujian 308 R HYbrid ini yang pernah diperkenalkan sebagai model konsep di Auto Shanghai baru-baru ini.
Walau pun masih belum mengesahkan bilakah model 308 R HYbrid ini akan diproduksikan, namun ia seakan memberikan bayangan bahawa model ini adalah “keluarga hatchback yang mempunyai keupayaan seperti prestasi supercar“. Malah ia memiliki penjana kuasa plug-in hybrid dan sistem pacuan semua-roda.
Model konsep 308 R HYbrid dipadankan oleh enjin 1.6 liter THP dengan kuasa 270 PS dan dua motor elektrik, yang setiap satunya mampu menghasilkan kuasa tambahan sehingga 115 PS. Ia menjadikan kuasa yang digabungkan mencecah 500 PS dan tork 730 Nm, cukup untuk memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya empat saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 250 km/j.
Pada 25 Jun lalu, Peugeot telah memperkenalkan model baharu 308 GTi di Goodwood Festival of Speed 2015. Jadi kemungkinan besar model 308 R HYbrid tidak akan dilancarkan dalam masa terdekat. Mungkin juga pada 2016. Tunggu!