Kia Sportage Axis Edition – Edisi terhad dengan dua pilihan enjin diperkenalkan
Kia telah pun memperkenalkan model edisi terhad, Sportage Axis Edition, yang ditampilkan dengan imej yang lebih sporty.
Dengan kehadiran rel bumbung standard, imejnya turut diserlahkan dengan padanan gril radiator hitam berkilat yang lebih besar dengan lingkaran krom, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang kombinasi LED dan antena sirip jerung. Ia turut dilengkapi dengan lampu utama automatik dan cermin sisi boleh laras secara elektronik dengan indikator LED.
Bagi ruang kabinnya, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dengan gentian mikro Dinamica kelabu menjadi pilihan. Menambahkan ambien yang lebih harmoni, ia digandingkan bersama kekemasan berwarna kelabu lembut bagi panel pintu, garisan hitam, penutup hitam bagi B- dan C-pillar serta pelindung cahaya, pemegang pinti dan suis lampu dari tona warna yang sama. Ia turut menampilkan cermin pandang belakang anti-silau.
Sportage Axis Edition ditawarkan dengan dua pilihan penjana kuasa iaitu enjin petrol 1.6 liter GDI dengan 133 hp dan 165 Nm serta enjin diesel 1.7 liter (114 hp/260 Nm). Kedua-duanya adalah model pacuan roda-hadapan dan dipadankan bersama transmisi manual enam-kelajuan yang disambungkan dengan sistem enjin Intelligent Stop & Go (ISG) olahan Kia sendiri.
Hanya diproduksi sebanyak 1,200 unit sahaja, ia bakal dijual pada harga bermula 20,995 GBP (RM123,548).