Honda Civic Type R mula diproduksi
Tiga unit pertama Honda Civic Type R telah pun mula diproduksi di kilang pembuatannya di United Kingdom.
Dengan pilihan warna merah, biru dan putih, jentera ini turut tampil dengan kit badan yang agresif, sistem ekzos sport dengan empat paip dan rim aloi bersaiz 19-inci.
Walau bagaimana pun, penarik utama bagi Civic Type R ini sudah pasti penjana kuasanya iaitu 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 310 PS dan tork setinggi 400 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan yang mampu membuatkan jentera ini dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 5.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 270 km/j.
Menurut Pengarah Urusan Honda UK Manufacturing, Soichiro Takizawa, Civic Type R ini adalah model penting bagi Honda, mewakili semangat perlumbaan dan bukti komitmen syarikat ini dalam inovasi.
“Kami sangat berbangga menjadi satu-satunya pembuat Civic Type R ini di dunia,” ujar Takizawa.