Hyundai Elantra FL Edisi Sport dilancarkan – Terhad 999 unit sahaja
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengesahkan kehadiran Elantra FL Edisi Sport telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Hanya 999 unit sahaja, harga yang ditawarkan adalah di bawah RM116,000 mengikut model spesifikasi. Elantra FL Edisi Sport ini turut menampilkan kit badan sport sepenuhnya termasuk bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi, paip ekzos berkembar dan pelekat edisi khas yang menampakkan imej penuh sporty model edisi terhad ini.
Menjengah bahagian kabinnya, perubahan yang dilakukan agak terhad. Cuma pertambahan unit kepala skrin sesentuh baharu bagi menggantikan radio standard yang ada seperti dalam model 1.6 Elegance. Unit ini turut berfungsi bersama sambungan USB dan Bluetooth serta kamera undur (pilihan tambahan dengan kos hanya RM300).
Model ini hanya ditawrkan dengan dua pilihan warna iaitu Creamy White dan Phantom Black, dengan rekaan pelekat badan edisi terhad yang turut disertakan dengan kod bar dan nombor siri dari 001 hingga 999.
Menurut Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun, “Pihak kami menerima banyak permintaan dari para pelanggan untuk memasukkan varian sport di dalam barisan produk Elantra. Malah Elantra juga merupakan model jualan paling tertinggi buat kami. Justeru, penampilan edisi khas ini adalah bagi memenuhi permintaan ramai terutamanya golongan muda”.
Model ini turut dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma empat-silinder dengan kuasa sehingga 130 PS dan tork 157 Nm yang dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan.
Ia juga dilengkapi dengan aspek keselamatan termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).
Hanya untuk pasaran Semenanjung Malaysia sahaja, ia ditawarkan pada lima varian dengan harga atas jalan (tanpa insurans seperti berikut) :
Elantra FL 1.6 Elegance – RM85, 928.47
Elantra FL 1.6 Sport – RM91, 928.00
Elantra FL 1.6 Executive – RM96, 820.57
Elantra FL 1.6 Premium – RM101, 554.66
Elantra FL 1.8 Premium – RM115, 616.20