Diskaun tol 10% menanti pengguna Lebuhraya E22 sempena Aidilfitri
Senai-Desaru Expressway Bhd (SDEB) menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada semua pengguna Lebuh Raya E22 sempena perayaan Aidilfitri ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SDEB Ir Mustaza Salim, diskaun itu ditawarkan kepada semua pengguna kenderaan kelas 1 sama ada yang membuat bayaran tol secara elektronik (ETC) di lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG atau bayaran tol tunai.
Potongan 10 peratus itu akan bermula pada 6 pagi 17 Julai hingga 6 pagi 18 Julai ini. Bagaimana pun SDEB menggalakkan pengguna lebuh raya membuat bayaran tol secara elektronik supaya perjalanan lebih cepat dan selesa terutama pada hari raya pertama hingga ketiga.
Mustaza berkata diskaun yang ditawarkan itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SDEB.
SDEB juga berharap semua pengguna lebuh raya mengamalkan permanduan berhemah pada musim perayaan ini.