Pengguna jalan raya elak gunakan laluan kecemasan – Bomba
Tidak dinafikan, ketika berlakunya kesesakan lalu lintas, ramai di antara pengguna jalan raya yang mungkin kurang sabar, lantas akan menggunakan laluan kecemasan. Namun ini bukanlah suatu tindakan yang bijak kerana ia mungkin bakal mengundang padah, termasuklah bakal dikenakan saman oleh pihak berkuasa.
Selain itu, tindakan menggunakan laluan kecemasan juga mungkin boleh menjejaskan kerja-kerja kecemasan termasuk operasi menyelamat mangsa kemalangan dan sebagainya, menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Laporan yang dipetik dari Bernama ini turut menyebut, tindakan pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab itu akan menyukarkan tugas anggota keselamatan dan pasukan penyelamat seperti polis, bomba, ambulans dan lain-lain untuk tiba di lokasi berlakunya kemalangan.
“Jangan ambil kesempatan guna laluan kecemasan kerana ia akan menyukarkan bantuan untuk tiba di lokasi kemalangan. Jika bantuan lambat sudah tentu ia akan jejaskan nyawa mangsa kemalangan,” ujar Wan Mohd Nor.
Sumber foto : Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)