JPJ akan siasat gambar kesalahan trafik yang disebarkan menerusi media sosial
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai pengguna media sosial berani menampilkan bukti bergambar yang menunjukkan kesalahan trafik termasuklah menggunakan laluan kecemasan sewaktu kesesakan lalu lintas, dan sebagainya.
Malah perkara ini turut mendapat pendedahan Astro AWANI yang turut melaporkan kejadian serupa, hasil foto sumbangan saluran TV berkenaan. Menurut laporan Astro AWANI, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut memaklumkan, orang awam boleh menyalurkan aduan berserta maklumat ke alamat emel aduan trafik JPJ di aduantrafik@jpj.gov.my tentang sebarang kesalahan berhubung penggunaan lorong kecemasan atau apa-apa kesalahan trafik.
Walau bagaimana pun, gambar yang boleh dijadikan bahan bukti itu haruslah dilengkapi dengan beberapa butiran maklumat termasuk tarikh, masa, nombor pendaftaran kenderaan dan jenis kesalahan.
Menurut JPJ, selepas aduan diterima, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan mengeluarkan Notis 114 iaitu notis temusiasat pada pemilik kenderaan untuk memberikan keterangan lanjut berhubung dengan kesalahan yang dilakukan. Sekiranya didapati bersalah, Notis P22 iaitu notis saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.
Sumber foto : Instagram JPJ