Grand Prix KL – Beberapa jalan ditutup dari 7 hingga 9 Ogos ini
Sempena dengan perlumbaan Grand Prix KL yang julung kali diadakan, beberapa jalan di bandar raya ini akan ditutup kepada lalu lintas dari 6 pagi hingga 6 petang mulai 7 hingga 9 Ogos ini.
Menurut penganjur perlumbaan, GT Global Race (M) Sdn Bhd, jalan terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan Jalan P Ramlee.
Di mana satu litar sementara yang mendapat kelulusan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) akan dibina di beberapa jalan terlibat. Pembinaan dilakukan pada Khamis dari 10 malam hingga 6 pagi hari berikutnya.
Sepanjang tiga hari itu, kontraktor akan menutup jalan terlibat dan akses ke bangunan yang terdapat di sepanjang jalan berkenaan secara berperingkat.
Menjelang 7.30 pagi, semua kenderaan awam dan bukan kenderaan perlumbaan tidak dibenarkan menggunakan atau berada di jalan terlibat.
Litar berkenaan bermula di hadapan Suria KLCC, bersebelahan Menara Berkembar Petronas yang melibatkan jarak 3.2km.
Pelumba akan menggunakan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan kembali ke Jalan P Ramlee.