Mazda 3 2.0 sedan kini sudah ditayangkan di bilik pameran
Pertengahan November yang lalu, pengedar jenama Mazda bagi pasaran Malaysia, Bermaz, telah pun memperkenalkan model Mazda 3 sedan di pusat membeli-belah One Utama. Walau pun ia merupakan model Mazda 3 bagi pasaran Australia dengan kapasiti enjin 2.5 liter, namun Bermaz turut mengesahkan bahawa ia akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia dengan varian 2.0 liter. Dijangka bakal dijual pada harga RM139,000.
Baru-baru ini, Bermaz telah mempamerkan model ini di bilik pameran utama mereka yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Walau bagaimana pun, ia masih belum dilancarkan secara rasmi. Tetapi beberapa wakil jualan Mazda turut telah mempromosikan Mazda 3 ini dengan memaklumkan harga atas jalan iaitu RM138,935.50 (berserta dengan insurans).
Apa yang menariknya tentang Mazda 3 ini?
Secara terperincinya, masih belum dapat dikenalpasti. Cuma bagi model yang dipamerkan ini, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik, lampu bi-xenon, roda stereng balutan kulit, bumbung panoramik, alat pengesan undur dan rim aloi 18 inci yang membaluti tayar Dunlop SP Sport Maxx 215/45.
Malah ia turut disertakan dengan sistem kunci pintar, butang penghidup enjin, skrin paparan TFT infotainmen MZD Connect yang turut berfungsi sebagai GPS, sistem audio dengan enam pembesar suara, butang kawalan i-Stop, i-Eloop dan sistem lampu hadapan adaptif.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Mazda 3 ini, Infokereta akan menyalurkan maklumat mengenainya dari masa ke semasa.
Untuk paparan secara video, anda boleh klik di sini. Ia adalah ulasan daripada Big Bro Infokereta iaitu Paultan.org.