Forum Keselamatan Automotif ASEAN kali ke-3 bakal membicarakan isu keselamatan kenderaan
Forum Keselamatan Automotif ASEAN (AASF) 2015 dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Sept ini di Bandung, Indonesia akan membicarakan isu keselamatan kenderaan.
Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), AASF kali ketiga anjuran Program Penilaian Kereta Baharu Asean (ASEAN NCAP) juga akan berperanan sebagai platform untuk peserta membincangkan cara bagi mewujudkan pasaran lebih baik dan positif bagi industri automobil ASEAN.
Di mana fokus terhadap kenderaan lebih selamat dipilih sebagai teras ketiga ‘Dekad Tindakan Bagi Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu 2010-2020’.
Topik mengenai kenderaan lebih selamat yang akan dibincangkan dalam persidangan itu adalah amat penting sebagai sebahagian usaha untuk mengurangkan jumlah angka kematian akibat kemalangan di jalan raya.
Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung ASEAN NCAP, Khairil Anwar Abu Kassim berkata, dalam persidangan tersebut juga akan mengumumkan keputusan ujian terbaharu kemalangan bagi kenderaan Indonesia dan sistem penarafan baharu yang akan dilaksanakan ASEAN NCAP untuk ujian pada masa depan dari 2017.
AASF akan diadakan bersama-sama dengan Persidangan Antarabangsa Dekad Tindakan Bagi Keselamatan Jalan Raya: Kenderaan Lebih Selamat, yang merupakan siri ketiga selepas kejayaan dua siri yang diadakan di Kuching, Sarawak dan Bangkok, Thailand tahun lepas.