Pelan Tindakan NAP 2014 dilancarkan
Selepas pengumuman mengenai Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014 pada 20 Januari lalu, petang ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri Malaysia, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, melancarkan pula Pelan Tindakan NAP 2014 setebal 600 muka surat.
Terdapat enam pelan tindakan untuk mengimplementasikan NAP 2014 dan ia dijadikan panduan untuk dilaksanakan iaitu Pelan Tindakan Teknologi, Pelan Tindakan Pembangunan Rantaian Bekalan, Pelan Tindakan Pembangunan Sumber Manusia, Pelan Tindakan Pengeluaran Semula, Pelan Tindakan Pembangunan Bagi Syarikat Bumiputera dan Pembangunan Rangka Kerja Kemudahan Rawatan Kenderaan Lupus Berlesen (Authorized Treatment Facilities – ATF).
Di mana pelan tindakan tersebut adalah memberi manfaat kepada industri automotif secara keseluruhannya.
Bagi Pelan Tindakan Teknologi, ia bakal menumpukan pada trend teknologi hijau terkini selaras dengan perkembangan industri automotif global. Di mana pelan tindakan ini termasuklah panduan rasionalisasi sistem pencukaian kenderaan bagi menghasilkan nilai rantaian yang lebih mesra alam di samping memastikan kemampanan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing.
Untuk Pelan Tindakan Pembangunan Rantaian Bekalan pula mensasarkan peningkatan berterusan terhadap keberkesanan operasi dan tahap kecekapan bagi pengeluar komponen serta alat ganti. Ia bagi meningkatkan sistem pengurusan kualiti, operasi dan pengurusan perniagaan. Serta secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi keupayaan dan kapasiti ujian dan validasi (pengesahan produk).
Pelan Tindakan Pembangunan Sumber Manusia pula memfokuskan peningkatan mutu program-program sedia ada di peringkat juruteknik dan operator. Ia juga menggariskan pelaksanaan ke arah mewujudkan tenaga mahir industri automotif yang khusus seperti dalam bidang pengeluaran komponen hibrid dan transmisi enjin.
Manakala Pelan Tindakan Pengeluaran Semula pula merupakan garis panduan bagi kriteria terperinci mengenai pengeluaran seula, standard dan langkah terbaik yang perlu diambil oleh pemain industri untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semula industri automotif di Asia. Malah ia juga membekalkan panduan bagi mengoptimakan tahap recycability dan recoverability kompenan terpakai.
Pelan Hala Tuju Syarikat Bumiputera pula menggariskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan bagi meningkatkan daya saing syarikat Bumiputera dalam industri automotif. Aktiviti- aktiviti ini adalah sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera serta menghasilkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing sekaligus menembusi pasaran antarabangsa.
Terakhir, Pembangunan Rangka Kerja Kemudahan Rawatan Kenderaan Lupus Berlesen adalah garis panduan dalam mentransformasikan aktiviti- aktiviti lepas jualan dalam usaha membangunkan industri automotif hijau yang mampan.
Pelaksanaan pelan hala tuju ini akan dipantau oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sementara Institut Automotif Malaysia (MAI) pula dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan melaksanakan program- program yang telah digariskan di bawah semua pelan hala tuju tersebut.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung pertukaran memorandum sefahaman (MoU) antara MAI dan ARCA Corporation Sdn Bhd, dengan syarikat dari Australia iaitu AutoCRC Ltd dan Swinburne University of Technology bagi membangunkan bas elektrik dan juga bateri Lithium Ion.
Di mana MoU ini adalah kerjasama antara Malaysia dan Australia di bawah Malaysia Australia Free Trade Agreement (MAFTA).