Subaru Legacy 2015 mempertaruhkan imej, penjimatan & prestasi
Jenama kenderaan terkemuka dunia yang terkenal dengan penghasilan model-model pacuan empat roda, Subaru, telah mengesahkan bakal membawa masuk model terbaharunya, Subaru Legacy, ke pasaran global tidak lama lagi.
Perkembangan terbaharu ialah Subaru Legacy versi 2015 ini telah pun dipertontonkan secara rasmi di Chicago Auto Show 2014 yang sedang berlangsung di kala ini.
Model sedan serba baharu ini mempertaruhkan penjimatan bahan api dan prestasi yang diyakini bagi memberikan persaingan sengit terhadap model seangkatannya seperti Honda Accord dan Toyota Camry.
Malah imej yang lebih segar dan penuh ketrampilan seperti mana yang dipertontonkan melalui Legacy Concept semasa berlangsungnya Los Angeles Auto Show 2013 lalu.
Menerima padanan gril hexagonal pada bampar hadapan menaikkan lagi imej penuh maskulin Legacy ini. Garisan bumbungnya pula menyerupai model coupe memberikan sentuhan elegan. Pada bahagian belakangnya juga diperkemaskan dan lebih elok berbanding model terdahulu.
Walau bagaimana pun, pembikinan bagi versi model sebenar agak sedikit rumit kerana terdapat masalah yang dialami pada awal produksi. Di mana ia mengalami masalah daripada segi garisan kerangka yang sedikit ‘lari’ sewaktu dalam peringkat produksi. Walau bagaimana pun masalah ini dapat ditangani segera dan produksi diteruskan bagi mencapai sasaran jadual pengeluaran yang telah ditetapkan.
Jika model terdahulu turut hadir dengan varian manual, kini semuanya hanya dipadankan dengan kotak gear Subaru Lineartronic CVT.
Hasil daripada enjin Boxer 2.5 liter empat silinder, Legacy ini mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 175hp (iaitu lebih 2hp dari model terdahulu) dan puncak tork 174 lb-ft. Manakala bagi varian 3.6 liter pula, ia berkemampuan memuncakkan kuasa sehingga 256hp dan tork 247 lb-ft.
Tanpa pacuan empat roda, bukan model Subaru namanya. Maka Legacy 2015 ini turut menerima sistem terkini Active Torque Vectoring seperti mana yang turut digunakan bagi model WRX 2015 dan WRX STI. Sistem ini turut berfungsi bagi mengarahkan brek terhasil daripada bahagian dalam roda hadapan sewaktu kenderaan dipandu secara agresif ketika melalui selekoh bagi mempertingkatkan lagi pengendalian.
Dengan jarak roda bersaiz 108.3 inci dan panjang 188.8 inci, memberikan ruang ekstra yang lebih memuaskan pada ruang kaki di bahagian tempat duduk penumpang belakang serta ruang kargonya berkapasiti 425 liter.
Subaru turut menjanjikan peningkatan kualiti dan keselesaan di dalam kabin. Menampilkan tempat duduk yang lebih selesa dan gaya kekemasan baharu pada bahagian konsol tengah, Subaru ingin menampilkan ‘Keselesaan Yang Lebih Premium’ bagi model terbaharunya ini.
Selain daripada itu, sistem infotainmen turut dipertingkatkan dengan memberi pilihan sama ada skrin papan sesentuh bersaiz 6.2 inci atau 7.0 inci yang turut berfungsi sebagai paparan navigasi. Semua model juga dilengkapi dengan kamera undur dan Subaru juga telah mempertingkatkan sistem kamera EyeSight.
Subaru turut mempertingkatkan lagi aspek keselamatan kenderaannya dengan menampilkan beberapa teknologi terkini termasuklah Pengesan Titik Buta dan Bantuan Menukar Lorong.
Subaru menjangkakan bakal melancarkan model baharu ini pada suku ketiga tahun ini.
Related
Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.