GALERI : KL Grand Prix 2015 berjaya tarik hampir 250 ribu pengunjung
Ini merupakan pelumbaan pertama yang melibatkan jentera berkuasa tinggi diadakan di tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. KL City Grand Prix 2015 telah pun menamatkan kehangatannya semalam dan dicatatkan berjaya menarik hampir 250,000 pengunjung dalam pelumbaan yang diadakan selama tiga hari itu.
Dengan trek sepanjang 3.2 km, KL City Grand Prix 2015 telah menyaksikan pelumba terkemuka, Naoki Yokomizu mengungguli perlumbaan. Memandu jentera Lamborghini Huracan Super Trofeo LP620 bagi kelas GTM, kredibiliti Yokomizu sukar untuk digugatkan sekali gus menobatkannya sebagai juara.
Paling membanggakan, pelumba tempatan, Fairuz Fauzy, turut memberikan persaingan yang sengit dan berjaya menduduki tempat kedua dengan jentera Lamborghini Huracan. Sehari sebelum itu, Lamborghini Gallardo FLII yang dipandu oleh Fairuz mengalami kerosakan teruk semasa sesi kelayakan semalam dan hampir membuatkan beliau terpaksa menarik diri dari meneruskan perlumbaan.
Walau bagaimana pun, pemandu OD Racing Team itu memulakan perlumbaan dengan memandu Lamborghini Huracan selepas Automobili Lamborghini bersetuju meminjamkan kereta ujian itu kepada beliau apabila pasukannya tidak sempat membaiki jenteranya untuk perlumbaan. Ini membuatkan semangat lumba Fairuz terus melonjak.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Frank Yu yang membawa jentera Ford GT3.