Volkswagen Polo Original lahir sempena ulang tahun ke-40 Polo
Meraikan ulang tahun yang ke-40 bagi model Polo, Volkswagen telah memperkenalkan unit edisi terhad Polo Original.
Polo mula diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1975 dan sehingga kini ia telah pun berjaya terjual melebihi 14 juta unit di seluruh negara. Bagi model edisi terhad Polo Original ini, ia bakal dilancarkan di Jerman dan hanya ditawarkan sebanyak 1,000 unit sahaja.
Ia didatangkan dengan beberapa pilihan warna menarik, termasuklah Honey Orange Metallic (seperti di dalam foto di atas) yang tidak ditawarkan pada mana-mana model Volkswagen yang lain.
Membezakannya ialah logo “Original” pada bahagian dapra dan catatan nama ini juga terlakar pada sisi bawah pintu. Polo Original ini turut ditampilkan dengan rim Portago bersaiz 16-inci dan lampu utama LED serta gril radiator hitam berkilat.
Manakala bahagian dalamnya dilengkapi dengan material upholstery berwarna hitam & jingga, pedal aluminium dan balutan kulit tiruan pada bahagian perehat tangan. Ia juga didatangkan dengan sistem kawalan suhu automatik, kameran pandang belakang, Bantuan Parkir, Brek Kecemasan dan banyak lagi.
Volkswagen Polo Original ini bakal dijual pada harga €19,950 (RM86,005).