Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diaktifkan semula tidak lama lagi
Menurut laporan The Edge Financial Daily, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan ‘diaktifkan’ semula tidak lama lagi. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin iaitu Timbalan Pengerusi & Pengarah Urusan Boustead Holdings berkata, fasa kedua AES ini akan diimplementasikan dalam satu atau dua minggu lagi.
Lodin yang juga Ketua Ekseskutif di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut berkata, “Ia perlu memiliki perancangan yang positif (untuk dilancarkan) kali ini.”
Pada Mei lalu, fasa kedua Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikatakan akan mula diimplementasikan di 262 lokasi seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Perbincangan mengenai fasa kedua ini telah pun bermula sejak awal tahun ini antara agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri serta pembekal sistem AES baharu iaitu Irat Properties Sdn Bhd, dengan kerjasama Armed Forces Fund Board (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.
Bagi fasa kedua ini, ia mensasarkan 38 lokasi di Selangor, diikuti 32 persimpangan di Johor, Kedah (26 lokasi), Perak (22), Terengganu (20), Negeri Sembilan dan Pulang Pinang (masing-masing 18 lokasi), Kelantan (16) dan 72 lokasi di Kuala Lumpur, Labuan, Perlis, Sabah, Sarawak, Pahang, Melaka serta Putrajaya.