BMW 640i Gran Coupe LCI kini di pasaran Malaysia – Harga RM789k
BMW Group Malaysia telah memperkenalkan model baharu bagi BMW 640i Gran Coupé iaitu BMW 640i Gran Coupe LCI. Dengan penampilan yang lebih dinamik dan sofistikated serta menyuntik elemen serba sporty menerusi Pakej M Sport, menjadikan model ini lebih bergaya.
“Dalam dunia automotif, BWM Group merupakan pakar dalam menghasilkan model premium sports coupés. Dengan BMW 6 Series Gran Coupé baharu ini, kami membangunkan model ini dengan gaya serba sporty dan kemewahan bagi coupe empat-pintu serta menampilkan penanda aras baru di dalam segmen automotif,” ujar Alan Harris, Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia.
Melihat gaya BMW 6 Series Gran Coupé yang serba elegan, ia menampilkan profil berkarakter dengan menonjolkan kuasa sporty pakej M.
Pakej M Sport ini menawarkan kit M Aerodinamik termasuk pada bahagian hadapan dan belakang serta sisi dengan warna sama seperti kerangka. Pada bahagian belakang, bamparnya kelihatan lebih sporty dengan warna Dark Shadow Metallic bagi memberikan tona kontras dari warna kerangka untuk membezakannya dengan identiti M Sport.
Lampu utama LED Adaptif dan Selective Beam turut memberikan serlahan gaya yang berbeza malah kelihatan lebih menonjol. Manakala gril ‘kidney’ yang direka semula dengan sisi berkarakter “shark nose” pada bahagian hadapan menyerlahkan gaya. Malah elemen krom yang lebih berdinamik pada corong udara bahagian hadapan turut memberikan kesan tersendiri pada imej jentera ini.
Ditambah pula dengan rim M double-spoke bersaiz 19-inci bagi menambahkan ekspresi bergaya pada BMW 6 Series Gran Coupé ini.
Menjengah bahagian kabinnya, BMW 640i Gran Coupé baharu ini menampilkan konsol tengah yang sofistikated dengan kekemasan hitam pekat, turut serta ialah Paparan Informasi di bahagian tengah dnegan rekaan tanpa bingkai. Ia adalah kombinasi teknologi in-plane switching (IPS) yang bukan sahaja menampilkan penampilan lebih sofistikated tetapi meningkatkan daya penglihatan di bawah cahaya mentari.
Elemen lain yang turut dipertingkatkan ialah fungsi “seatbelt parking” bagi memberikan lebih keselesaan buat penumpang hadapan. Ia juga mengurangkan tekanan serta akan berbunyi sekiranya penumpang tidak memakainya.
Menambahkan lagi imej sporty dan ambien kemewahan di dalam kereta, BMW 640i Gran Coupé ini turut ditampilkan dengan material kulit upholstery dwi-warna, sama ada Ivory White/Black atau Cognac/Black.
Dijanakan oleh enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris, BMW 640i Gran Coupé ini mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 320hp dan tork pula 450 Nm. Ia membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.4 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Bagi penggunaan bahan apinya, BMW 640i Gran Coupé diyakini mampu memberikan penjimatan yang lebih efisien iaitu dianggarkan sekitar 7.8 liter bagi setiap 100 km.
Dengan harga jangkaan (atas jalan, tanpa insurans) BMW 640i Gran Coupé ditawarkan pada harga RM788,800 bersama waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad serta Program Servis Berkala percuma.