Pertandingan Reka Bentuk Proton 2015 : Lebih mendalam mengenai pakej rekaan Proton
Jika bulan lalu, kita bercerita tentang tip dan panduan bagi menyertai Pertandingan Reka Bentuk Proton 2015, kali ini, kita huraikan lebih spesifik mengenainya. Bagaimana hendak menghasilkan sebuah model Proton yang menepati cita rasa dan piawaian Proton sendiri. Ketua Pereka Bentuk Proton, Azlan Othman, ada panduan yang lebih terperinci mengenainya.
Apakan elemen spesifik atau bahasa rekaan yang lebih umum yang menggambarkan keunikan Proton?
Kami ada beberapa syarat yang ditetapkan sejak melancarkan Preve. Sebenarnya visi tersebut telah pun disematkan di fikiran sejak menghasilkan kereta konsep EMAS. Apabila kami mereka bentuk Iriz, model-model yang akan datang turut mengikut konsep elemen
“Sayap bagi Proton” terbentuk melalui logo dan grafik di bahagian hadapannya yang menyelimuti “sayap” tersebut. Sebagai contoh, karakteristik bahagian hadapan diolah sempurna. Malah bahagian hadapan Iris turut memberikan identiti yang tersendiri.
Pada bahagian sisi, garisan yang penuh karakteristik disambungkan pada lampu utama sehingga ke lampu belakang, di mana ia digambarkan sebagai “anak panah”. Ia juga menyalurkan perbezaan dan tidak menampakkannya seperti sarat. Pada bahagian belakang, palang sambungan mendatar disambungkan pada lampu belakang.
Ada beberapa elemen yang telah dipraktikkan sejak beberapa tahun yang lalu. Justeru, kini kami mengambil langkah untuk memodenkan elemen tersebut. Jadi, kami menggalakkan para peserta pertandingan ini untuk mengeksplorasi apa yang pernah kami gunakan, kerana kita mencari kereta konsep menerusi pertandingan ini. Jadi, para peserta dibenarkan untuk mentafsirkan elemen ini dengan cara mereka yang tersendiri.
Walau bagaimana pun, kata kunci yang perlu diingat ialah semua elemen ini perlu bersama secara harmoni. Memang nampak mudah menampilkan elemen ini, tetapi jika ia tidak diletakkan secara harmoni, mungkin ia akan nampak kurang bersesuaian.
Bagaimana dengan rekaan dalaman? Apakah yang membuatkan rekaan dalaman Proton nampak berlainan berbanding yang lain?
Untuk bahagian dalamannya, sebenarnya kami menggunakan DNA bahagian luaran yang ada. Terdapat dua elemen utama termasuklah rekaan berlapis yang boleh didapati pada Iriz dan kesan lata pada panel instrumen termasuk papan pemuka. Jika anda melihat papan pemuka Iriz dari jauh, ia adalah kesinambungan bahagian hadapan pada model terbabit.
Iriz juga memiliki gaya sisi yang lebih mantap, di mana ia terbentuk daripada adaptasi elemen sedia ada.
Apa jua elemen yang ditampilkan bukan sekadar demi rekaan, tetapi juga merupakan kekuatan yang ada pada panel pintu. Di mana panel pintu tanpa elemen tersebut mempunyai permukaan yang hampir rata dan nampak besar. Jadi kami menambah sedikit elemen bagi membantu kejuruteraan dan pembuatan, agar panel tersebut nampak lebih keras serta ideal untuk NVH (bunyi bising, getaran dan kekerasan) serta pelindung pelanggaran.
Daripada sudut pandangan rekaan, ia juga memberikan kami keupayaan untuk menghasilkan penyesuaian pada masa hadapan. Apabila kami menambahnya, kami sudah tahu bahawa ia memerlukan perbezaan penampilan tanpa sepadan, sama ada menggunakan warna atau pun pelekat.
Bagaimana dengan rekaan bahagian belakang Iriz, apakah maksud yang cuba disampaikan?
Memang banyak cabaran di dalam menghasilkan rekaan belakang ini, dan bukan mudah untuk mengimplementasikannya kerana bahagian pemukaannya lebih kepada sudut kanan. Jadi terpaksa menggunakan material yang boleh mengilim dan menegang. Malah bahagian bamparnya juga perlu bersesuaian dengan panel sisi kerangka.
Walau bagaimana pun, pada Iriz, apa saja elemen yang dipertaruhkan, ia perlu bersesuaian dan mempunyai perspektif yang tersendiri. Tanpanya, ia kelihatan kosong dan biasa-biasa sahaja.
Trend sekarang ini melibatkan rekaan yang bersudut, jadi kami cuba sedaya-upaya untuk menghasilkannya berdasarkan prinsip kami sendiri. Di mana elemen yang ditampilkan memiliki “side blades” dan ciri aerodinamik, jadi ia membantu untuk menyebarkan aliran udara pada bahagian belakang secara lebih sempurna.
Apa lagi elemen lain atau keunikan yang ada pada Iriz?
Elemen yang ditampilkan mengikut acuan Proton termasuklah pada rekaan lampu utamanya. Kami menggambarkannya sebagai ciri rekaan yang tinggi nilainya, biar pun nampak kecil tetapi sangat penting. Pertama kali kami melakukannya dan saya berharap orang ramai menghargainya.
Pada bahagian dalamnya pula, kesan jahitan 3D pada papan pemuka cuba ditonjolkan. Sebenarnya ini kali pertama kami mengadaptasikan teknologi ini, biar pun ia agak terlewat jika dibandingkan dengan pengeluar automotif yang turut pernah membuatnya. Acuannya diperbuat di Korea, dan ia agak mengambil masa yang lama untuk menghasilkannya. Malah ketika itu, ada pembuat kenderaan lain turut menghasilkan acuan tersebut di tempat yang sama.
Jadi kami membiarkan mereka melancarkannnya terlebih dahulu kerana mereka mempunyai kredibiliti. Kami bimbang, jika kami yang memperkenalkannya terlebih dahulu di pasaran, orang sukar menerimanya. Buat setakat ini, ia berjaya. Biar pun ramai yang mungkin menganggapnya diperbuat daripada material kulit, tetapi jika dirasa betul-betul, ia sebenarnya tidak.
Sebenarnya material yang digunakan ini agak mahal tetapi pihak kami mengambil keputusan untuk menampung pelaburan yang tinggi bagi menghasilkan sesuatu yang lebih bermutu dan berkualiti.
Apa lagi tip yang berkesan untuk menyertai pertandingan ini?
Apa yang penting, peserta harus mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan. Tahun-tahun sebelum ini, ada ramai peserta yang tidak mengikuti terma dan syarat, termasuk terleupa untuk menerangkan konsep rekaan mereka.
Selain itu, sila fokus pada tema yang ditetapkan iaitu kereta konsep untuk keluarga Malaysia dan ikuti kriteria penjurian yang telah dimaklumkan. Lakukan banyak kajian dan penyertaan ini bukan sekadar menghantar gambar yang cantik, tetapi setiap rekaan perlu memiliki makna yang tersendiri.
Kami turut telah menambahkan syarat penyertaan, dan ia boleh dihantar menerusi kiriman pos. Teknologi digital juga boleh diterima tetapi agak sukar untuk mengesahkan adakah ia dihasilkan oleh pengirim atau pun tidak. Kami lebih mengutamakan integriti dan skil yang ada pada setiap individu.
Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan yang sah dan ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori 1 adalah terbuka untuk pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 17 tahun (yang lahir pada tahun 1998 hingga 2002).
Manakala Kategori 2 pula terbuka kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas (lahir pada/sebelum 1997) dan hanya merupakan penyertaan individu sahaja. Penyertaan secara berkumpulan adalah tidak diterima.
Bagi menyertai Pertandingan Reka Bentuk Kereta Proton 2015 ini, borang penyertaan bolehlah dimuat turun menerusi laman web rasmi www.proton.com dan juga cawangan-cawangan Proton yang terpilih di seluruh Malaysia. Borang penyertaan yang difotokopi adalah tidak diterima.
Semua penyertaan berbentuk lakaran reka bentuk secara lukisan tangan bagi kategori 1 dan 2 ini haruslah sampai pada 1 September 2015.