Toyota Avanza 2015 dilancarkan di Indonesia
Memilih untuk melancarkannya di Indonesia kerana pasaran di sana yang lebih meluas, Toyota telah memperkenalkan model serba baharu bagi Avanza.
Dengan dua varian iaitu Toyota Avanza Veloz dan Grand New Avanza, ia turut dipadankan dengan dua enjin yang telah dipertingkatkan iaitu 1.3 liter (97 hp/120 Nm) dan 1.5 liter (104 hp/139 Nm). Kedua-dua enjin turut ditampilkan dengan Dual VVT-i.
Bagi varian Veloz 1.5 liter, ia menerima lampu utama projektor dan gril ‘sarang lebah’, lampu kabus dan lampu belakang reflektor. Manakala Grand New Avanza pula memiliki profil sisi yang lebih langsing. Kedua-duanya turut tampil dengan rim aloi sebagai elemen standard.
Bagi ruang dalaman, Avanza Veloz dan Grand New Avanza turut dipadankan dengan unit kepala skrin sesentuh bersaiz 6.1-inci dengan format radio AM/FM serta pemain CD/DVD sebagai tambahan, unit kepala 2DIN yang turut didatangkan dengan Bluetooth, USB dan sambungan iPod.
Sebagai tambahan, Veloz turut menerima papan pemuka berwarna hitam dan roda stereng balutan kulit dengan butang audio serta rekaan combimeter biru dan merah. Sementara Grand New Avanza pula menerima bentangan papan pemuka berwarna coklat. Kesemua varian turut dipadankan dengan lampu indikator eco.
Tahap kesenyapan kabin Avanza baharu ini telah dipertingkatkan. Malah daripada segi aspek keselamatan, kedua-dua varian ini telah dipadankan dengan rasuk impak sisi di antara panel pintu hadapan dan belakang serta sistem ABS sebagai standard.
Selain itu, tempat duduk barisan kedua turut memiliki butang anjaka-sentuhan untuk memudahkan penumpang memasuki ruang tempat duduk ketiga.
Harga bagi Veloz 1.5L manual bermula pada 204 juta rupiah (RM59,581), sementara automatik pula 216 juta rupiah (RM63,111). Manakala bagi Grand New Avanza pula, harganya bermula dari 191 juta rupiah (RM56,640).
Grand New Veloz
Grand New Avanza