Toyota Land Cruiser 2016 bakal tembusi pasaran dunia
Toyota sudah bersedia untuk memasarkan model facelift bagi Land Cruiser di beberapa negara lain selepas ia mula telah dijual di Jepun. Sebagai permulaan, hujung Oktober ini, ia bakal memasuki pasaran Australia.
Yakin ia bakal menerima sambutan yang menggalakkan, Toyota telah membuat pertaruhan besar bagi model Land Cruiser ini. Bahagian hadapannya telah direka semula dengan penampilan gril yang lebih segar bersama tiga palang aluminium yang dikonfigurasi berpadanan dengan lampu utama projektor LED. Malah dapra, bampar dan hud turut diperkemaskinikan.
Pada bahagian belakangnya pula, ia telah ditampilkan lampu LED yang lebih segar dan palang krom yang lebih nipis bagi menyerlahkan gaya Land Cruiser 2016 ini.
Tidak melupakan kabinnya, Toyota turut menambahkan lapisan lembut pada beberapa bahagian permukaan serta menambah ketebalan material bagi memberikan kekemasan ruang dalamannya. Malah butang kawalan turut diberi bentuk yang baharu serta tombolnya juga telah dikonfigurasi semula bagi memberikan kuasa akses yang optima.
Ia memberikan lebih banyak ruang storan pada kluster tengah dengan pusat kuasa 12V serta pengecas tanpa wayar untuk varian spesifikasi tertinggi. Malah Toyota turut menampilkan kluster instrumen pelbagai-informasi TFT 4.2-inci dan bagi varian spesifikasi tertinggi pula menerima skrin paparan 9-inci bagi sistem hiburan.
Bagi pasaran Australia, ia didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu 4.5 liter diesel turbo-berkembar dengan kuasa 272 PS dan tork 650 Nm serta 4.6 liter petrol V8 yang mampu menghamburkan 308 PS/439 Nm.
Mengenai aspek keselamatannya, Toyota telah menambah sistem keselamatan pra-pelanggaran, amaran penukaran lorong, kawalan kelajuan rada dinamik dan lampu tinggi automatik. Selain itu, ia turut menampilkan sistem pemantauan titik buta dengan amaran trafik belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan paparan pelbagai-bentuk muka bumi panoramik.