Volkswagen Beetle Club Edition dilancarkan – Harga RM153k & terhad 50 unit sahaja
Hujung minggu lalu, Volkswagen telah mempamerkan model edisi terhad Volskwagen Beetle Club Edition di Kuala Lumpur Fashion Week yang berlangsung di pusat membeli-belah Pavilion.
Lewat petang ini pula, Volkswagen Malaysia meraikan pelancaran model Beetle Club dalam satu parti eksklusif ‘Welcome to the Beetle Club’.
Melihat akan penampilannya, Beetle Club memang menyerlah berbanding varian stardard. Keistimewaannya, ia menampilkan rim aloi Ravenna bersaiz 17-inci,pelekat dengan tulisan ‘Club’ dan kemasan sisi bersama garis berwarna krom menjadikan model ini lebih bergaya.
Bagi ruang kabin, ia ditampilkan dengan jahitan berwarna Calypso Orange (oren), fabrik tempat duduk ‘Club’ yang eksklusif dan stereng dengan perkataan ‘Club’.
Mengulas mengenai pelancaran Beetle Club, Pengarah Urusan Volkswagen Malaysia, Armin Keller berkata, “Sejak ia berada di pasaran Malaysia 60 tahun lalu, Volkswagen Beetle berjaya mengekalkan reputasinya sebagai sebuah kereta ikonik. Kami akan terus mengujakan para peminat dengan membawakan model-model edisi terhad seperti ini kepada mereka.”
Beetle Club yang didatangkan dalam warna Habanero Orange (oren) ini boleh didapati pada harga RM152,888 seunit, dan ia terhad kepada 50 unit sahaja di Malaysia.