Hyundai Elantra 2016 bakal diperkenalkan
Hyundai telah menyebarkan satu foto model Elantra serba baharu iaitu daripada generasi ke-enam. Ia menampilkan perubahan gaya rekaan yang lebih besar, membuatkan Hyundai yakin model ini lebih mampu menarik perhatian ramai.
Gaya hadapannya diperkemaskini dengan penampilan gril haksagon yang lebih besar, lampu utama persis Jaguar dengan kekemasan krom pada lingkaran lampu kabus. Elantra 206 ini juga digandingkan dengan rim aloi yang penuh bergaya serta garisan bumbung yang lebih landai. Garisan sisi yang lebih berkarakter dengan kekemasan krom pada bahagian keliling cermin turut menyerlahkan lagi gayanya.
Walau bagaimana pun, Hyundai belum mengesahkan bilakah Elantra 2016 akan didedahkan secara rasmi. Namun ada kemungkinan ia bakal diterbangkan ke Los Angeles Auto Show pada November ini.
Malah Hyundai juga belum membuka mulut mengenai sudut mekanikalnya, tetapi terdapat desas-desus ia mungkin bakal dipadankan dengan enjin 1.6 liter T-GDI dengan kuasa 175 hp, yang digabungkan dengan kotak gear klac-berkembar tujuh-kelajuan.
Manakala bahagian kabinnya, bakal ditampilkan dengan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem infotainmen, penghidup kawalan, tempat duduk hadapan dan belakang dengan fungsi haba panas, dua sambungan USB, sistem audio Infiniti yang boleh menyokong format Android AUto dan Apple Car Play.
Bagi aspek keselamatan pula, Hyundai bakal menawarkan elemen tambahan termasuk Brek Kecemasan Automatik (dengan pengesan pejalan kaki), Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Pengesan Titik Buta.