IIMS 2015 : Toyota Avanza & Veloz tampil dengan gaya tersendiri
Kini wakil Paultan.org sedang berada di Jakarta International Expo (JIExpo) Kemayoran untuk membuat liputan Indonesia International Motor Show (IIMS) 2015.
Toyota turut mengambil kesempatan untuk memperagakan model facelift bagi Toyota Avanza dan Avanza Veloz di pentas yang sama.
Kedua-duanya diberi suntikan perubahan yang agak besar pada bahagian luar dan dalam. Penampilan hadapannya juga jelas berbeza.Walau bagaimana pun, kedua-dua model ini berkongsi dapra, penutup bonet dan lampu utama (reflektor bagi Avanza dan Veloz 1.3 pula projektor) yang dibentuk semula. Namun bahagian belakangnya tampil lebih kurang sama.
Toyota Avanza dan Avanza Veloz ini telah dipadankan dengan dua enjin yang telah dipertingkatkan iaitu 1.3 liter (97 hp/120 Nm) dan 1.5 liter (104 hp/139 Nm). Kedua-dua enjin turut ditampilkan dengan Dual VVT-i. Ia turut digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.
Menjengah ruang kabinnya, Avanza Veloz dan Avanza turut dipadankan dengan unit kepala skrin sesentuh bersaiz 6.1-inci dengan format radio AM/FM serta pemain CD/DVD sebagai tambahan, unit kepala 2DIN yang turut didatangkan dengan Bluetooth, USB dan sambungan iPod.
Veloz turut menerima papan pemuka berwarna hitam dan roda stereng balutan kulit dengan butang audio serta rekaan combimeter biru dan merah. Sementara Avanza pula menerima bentangan papan pemuka berwarna coklat. Kesemua varian turut dipadankan dengan lampu indikator eco.
Bagi aspek keselamatan, Avanza dan Avanza Veloz ini tampil dengan amaran tali pinggang keselamatan penumpang hadapan, tali pinggang tiga-poin pada bahagian tengah tempat duduk barisan kedua, perehat kepala bagi tempat duduk barisan kedya, rusuk impak sisi dan Isofix.
Varian warna yang ditawarkan ialah Nebula Blue, Dark Brown Mica, Dark Red Mica, Kelabu Metalik, Champagne, Hitam Metalik, Perak Metalik, dan Putih.
Harga yang ditawarkan bagi Veloz 1.5 manual bermula 204 juta rupiah (RM59,581), sementara varian automatik pula 216 juta rupiah (RM63,111). Manakala bagi Avanza pula, harganya bermula dari 191 juta rupiah (RM55,806).
Toyota Avanza Veloz
Toyota Avanza