Proton Preve LPG untuk pasaran Thailand
Ternyata Thailand menjadi antara negara Asia yang menerima banyak kelebihan di dalam industri automotif serantau. Selain menjadi antara hab pengeluar banyak jenama kenderaan terbesar Asia, negara Gajah Putih ini juga mempunyai pilihan yang lebih meluas dengan pelbagai varian kenderaan.
Malah Proton juga tidak mahu ketinggalan memberikan satu lagi pilihan varian kepada negara tersebut. Di mana varian Proton Preve LPG telah pun diperkenalkan bagi pasaran Thailand baru-baru ini.
Menawarkan tiga varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium dengan transmisi pilihan sama ada manual mahu pun CVT. Model ini dibangunkan untuk memberikan kos sistem bahan api yang lebih menjimatkan dalam masa yang panjang. Malah ia juga mampu memberikan kuasa pemanduan yang lancar dan tindak balas yang lebih tepat serta kestabilan kenderaan lebih mantap.
Mengikut spesifikasi di dalam laman sesawang Proton Thailand, bagi varian Standard dan Eksekutif, ia dijanakan oleh enjin 1.6 liter CAMPRO IAFM yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 109 hp pada 5,750 rpm dan puncak tork 150 Nm pada 4,000 rpm. Manakala varian Premium pula dikuasakan oleh enjin 1.6 liter CAMPRO CFE empat silinder DOHC 16 injap turbo intercooler. Di mana ia boleh menjanakan kuasa sehingga 138 hp pada 5,000rpm dan puncak tork 205 Nm pada 2,000 hingga 4,000 rpm.
Kapasiti tangki bahan api bagi ketiga-tiga varian ini ialah 58 liter.
Berkenaan dengan rekaan luarannya, ia menampilkan jeriji yang menggabungkan gaya sporty dan mewah tanpa kompromi. Lampu utama projektor juga nampak lebih bergaya dengan reka bentuk terkini ditambah pula dengan kehadiran LED. Turut tampil dengan cermin sisi elektrik boleh laras dengan lampu isyarat LED, lampu kabus dan rim aloi bersaiz 16 inci yang membaluti tayar 205/55R 16.
Manakala bahagian kabinnya pula dilengkapi dengan tempat duduk rekaan ergonomik, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear (untuk varian Premium), butang penghidup enjin, tolok Speedometer analog, skrin paparan pelbagai informasi, sistem audio dengan CD/MP3 stereo radio slot USB / iPod dan juga boleh disambungkan ke skrin LED, kesambungan Bluetooth dan GPS.
Preve LPG ini turut dilengkapi dengan aspek keselamatan seperti beg udara berkembar untuk bahagian hadapan, beg udara sisi, ABS, EBD dan ESC.
Berharga antara 625,000 baht hingga 798,000 baht, Preve LPG ini boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu biru, hitam, putih dan perak.