Renault Megane R.S 275 Trophy-R lebih berkuasa & eksklusif
Selain memperkenalkan Renault Twizy, TC Euro Cars Sdn Bhd juga turut melancarkan jentera hot-hatch Megane R.S. 275 Trophy-R.
Direka khas untuk mereka yang memandu di trek, Megane R.S. 275 Trophy-R ini telah diberi penambahbaikan yang lebih signifikan dengan padanan enjin Renault Sport 2.0T bagi memaksimumkan had jentera berprestasi tinggi ini.
“Renault Megane R.S. 275 Trophy-R dijadikan contoh kepada model-model sporty Renault Sport. Ia menawarkan prestasi setara dengan sebuah kereta sports eksklusif yang sedia untuk berlumba,” ujar CEO TC Euro Cars Sdn., Kuan Kim Luen.
Bagi mencapai sasaran dari segi prestasi, pemanduan dan pengendalian, pasukan jentera Renault cuba mengurangkan sebanyak mungkin beratnya. Hampir 100kg lebih ringan berbanding Megane R.S, jentera edisi terhad ini menawarkan dinamik dan kecekapan yang telah dipertingkatkan.
Antara elemen baharu yang ditampilkan termasuklah sistem ekzos titanium Akrapovic, peredam boleh laras Ohlins Road&Track, gegelung komposit Allevard dan tayar MICHELIN Pilot Sport Cup 2 bersaiz 19-in.
Dengan enjin penuh berprestasi, Megane R.S. 275 Trophy-R mampu mencapai jarak 20.832 km dalam tempoh kurang lapan minit. Catatan yang mengagumkan bagi model produksi pacuan roda hadapan.
Megane R.S. 275 Trophy-R ini turut dipadankan dengan chasis Cup bersama limited slip differential yang terbukti dari segi prestasinya di atas jalan dan pemanduan di litar.
Ia juga ditampilkan dengan kit brek “Performance” yang terdiri daripada cakera brek lebih besar berdiameter 350mm.Selain itu, ia juga didatangkan dengan bateri lithium-ion, dua unit abah-abah keselamatan Sabelt, empat penutup roda ganti dan satu tali penahan.
Selain itu, tambahan 10 hp daripada enjin Renault Sport 2.0L dengan sistem pengecas turbo. Ini membuatkan enjinnya mampu menghamburkan kuasa puncak sehingga 275 hp pada 5,500 rpm. Manakala tork maksimumnya pula mampu mencapai 360 Nm sepanjang julat rev yang lebih besar, daripada 3,000 hingga 5,000 rpm.
Di sebalik penambahan kuasa itu, penggunaan bahan api dan emisi hanya sekitar 7.5 liter/100km dan 174g CO2/km sahaja.
Gaya penampilan ranggi pasti menjadi antara tarikan bagi Megane R.S. 275 Trophy-R ini. Dengan dua tona iaitu putih (Pearlescent White) dan bumbung hitam (Etoile Black), turut digabungkan dengan splitter gaya jentera F1 berwarna merah terang. Manakala grafik hitam putih pada bahagian tinggi turut menyerlahkan lagi gayanya.
Untuk bahagian kabin, tempat duduk Recaro Pole Position jenis bucket berwarna hitam berkilat menyerlahkan lagi semangat perlumbaan. Malah material kulit Alcantara turut digunakan bagi stereng, tuil gear dan perumah brek tangan.
Memandangkan Megane R.S. 275 Trophy-R diproduksi untuk pemanduan di atas trek, tempat duduk belakang telah dikeluarkan bagi menjadikan jentera ini hanya dua tempat duduk sahaja. Satu topang bersilang disediakan sebagai jaring pada ruang kargo.
Hanya 10 unit sahaja yang ditawarkan, Megane R.S. 275 Trophy-R ini berharga RM300,000 termasuk GST dan tanpa insurans, hanya untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia sahaja. Walau bagaimana pun, kesemua unit tersebut telah pun habis dijual. Untuk pengetahuan, ia hanya diproduksi sebanyak 250 unit untuk pasaran global.
Selain melancarkan Renault Twinzy dan Megane R.S. 275 Trophy-R, TC Euro Cars Sdn Bhd turut memperkenalkan Renault Megane R.S. 265 Cup, model penambah baikan bagi memberikan kepuasan pemanduan yang lebih optimum.