Kutipan tol di LPT2 ditunda
Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadual bermula September ini terpaksa ditunda atas beberapa faktor termasuk kerja-kerja penyelenggaraan masih berjalan, laporan Bernama.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman, kerajaan negeri masih menunggu tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol daripada Kementerian Kerja Raya.
Kemungkinan sistem kutipan tol di lebuh raya itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Projek LPT2 adalah susulan projek LPT Fasa I dari Karak ke Kuantan di Pahang, sepanjang 184 kilometer. Ia merupakan sambungan dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang sedia ada.
Ia dibina dengan kos berjumlah RM3.7 bilion telah pun mula dibuka kepada lalu lintas sejak 31 Disember tahun lalu.
LPT2 ini mempunyai 10 persimpangan bertingkat, 10 buah plaza tol, tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dua hentian sebelah dan 90 jambatan.
Dalam masa yang sama, Rosli turut berkata, kemalangan yang sering berlaku di LPT2 bukanlah berpunca daripada jalan yang tidak rata atau rosak. Ia adalah disebabkan faktor kecuaian manusia sendiri.
“LPT2 merupakan lebuh raya baharu dan kebanyakan pemandu belum biasa dengan jalan berkenaan, ada pemandu yang memandu terlalu laju dan ada juga mengantuk semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.