Land Rover Discovery Sport miliki ketangkasan luar biasa – Ditawarkan 2 varian & harga dari RM399k
Setelah mengadakan sesi previu khas untuk pihak media pada Julai lalu, pagi ini, Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) dengan rasminya melancarkan Land Rover Discovery Sport, SUV kompak premium serba boleh yang terunggul di dunia, yang juga merupakan model pertama bagi barisan model Discovery terbaharu di Malaysia.
Ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.0L Si4 Petrol (240PS/340Nm) dan 2.2L SD4 Diesel (190PS/420Nm). Kedua-duanya dipadankan dengan sistem transmisi automatik sembilan-kelajuan yang menawarkan kecekapan pemanduan dan ketangkasan pemanduan off-road.
Varian Si4 Petrol dijual pada harga (termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) bermula RM399,000. Walau bagaimana pun, harga bagi SD4 Diesel akan diumumkan kelak.
Setiap Discovery Sport didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000km, penyelenggaraan berjadual percuma untuk 5 tahun atau 80,000km serta bantuan kecemasan jalanan selama tiga tahun.
“Pelancaran rasmi Discovery Sport menandakan pengenalan pertama bagi barisan model Discovery terbaharu, ia juga turut menampilkan rekaan tempat duduk 5+2 untuk menjadikannya SUV kompak dengan kelebihan tersendiri dalam segmennya,” ujar Pengarah Urusan JLRM, Tuan Syed Mudzhar Syed Ali.
Discovery Sport direka untuk menyediakan keupayaan off-road yang terbaik, juga pemanduan biasa yang dinamik, juga inovasi keselamatan serta penggunaan bahan asas yang lebih ringan dan kukuh.
Dibangunkan di pusat pembangunan Land Rover UK, Discovery Sport diproduksi di Halewood, Liverpool.
Discovery Sport terbaharu ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri terkini yang inovatif seperti konfigurasi tempat duduk 5+2, pintu belakang berkuasa elektrik dan pilihan pencahayaan kabin.
Bergantung kepada pilihan pakej aksesori oleh pelanggan, ia juga ada menawarkan ciri-ciri termaju seperti Park Assist with Parallel & Perpendicular Parking, Automatic High-Beam Assist, Lane Departure Warning, bumbung panoramik serta sistem audio Meridian dengan panduan HDD.
Pelanggan juga boleh memilih pakej Black Design Pack yang turut merangkumi pelbagai komponen dalam warna hitam seperti gril, cermin sisi, alur udara bahagian dapra, perkataan ‘Discovery’ atas bonet, bumbung, huruf pada pintu belakang serta pilihan rim aloi 19-inci atau 20-inci yang menarik. Pek ini bernilai RM14,440.
Rekaan progresif yang menonjol pada Discovery Sport adalah unik dalam segmen. Ia menggabungkan rekaan tempat duduk 5+2 di dalam pakej reka bentuk keseluruhan yang kompak dan lebih kecil berbanding SUV 5-penumpang tradisional.
Reka bentuk yang cukup diselaraskan ini turut digandingkan dengan kebolehgunaan dan penglihatan yang terbaik dalam kelas, serta ruangan dalaman dan pengangkutan sehingga 1,698 liter yang mudah diakses dan diguna sepenuhnya.
Antara lain, ia turut menampilkan inovasi kejuruteraan oleh Land Rover, termasuk gandar belakang multi-link generasi terbaharu, serta kerangka badan canggih yang dibangun menggunakan gabungan besi kukuh dengan aluminium yang lebih ringan.
Gandar belakang multi-link baharu ini terbukti sangat penting, dengan membolehkan Land Rover untuk memperkenalkan rekaan tempat duduk 5+2 dalam segmen yang baharu dan dalam masa sama, menawarkan prestasi off-road yang tangkas dan meyakinkan.
Ia turut menawarkan kemampuan pemanduan pelbagai permukaan, dibantu antaranya dengan kemampuan meredah air sedalam 600mm, perincian sudut pendekatan, pelepasan dan breakover serta sebuah ciri penting, Terrain Response® System. Ia membolehkan stereng, maklum balas pendikit, kotak gear serta sistem brek dan kestabilan untuk diselaraskan mengikut keadaan semasa permukaan yang dilalui oleh Discovery Sport.
Terdapat empat pilihan, iaitu General bagi Grass/Gravel/Snow (untuk permukaan licin, termasuk off-road), Mud & Ruts (berlumpur) serta Sands (berpasir).
Discovery Sport dibangunkan lengkap dengan ciri keselamatan pasif dan aktif termaju. Pakej keselamatan penumpang komprehensif turut merangkumi keseluruhan tujuh beg udara iaitu untuk pemandu dan penumpang, lutut dan tirai sisi serta thorax airbags.
Ciri lain yang melengkapi sisi dinamik model ini termasuklah Hill Descent Control (DSC®), Gradient Release Control (GRC®), Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Traction Control (ETC), Electronic Power Assisted Steering (EPAS), Hill Start Assist, Roll Stability Control (RSC) dan Dynamic Stability Control (DSC).
Sempena dengan pelancaran ini, JLRM turut menganjurkan acara khas bagi pengenalan Discovery Sport untuk pasaran Malaysia turut dirancakkan oleh Land Rover Terrapod, trek buatan manusia mudah-alih bertempat di ruang parkir terbuka pusat membeli-belah One Utama.
Pengalaman yang pertama melalui Land Rover Terrapod ini dibuka kepada orang ramai semasa Hari Terbuka Discovery Sport pada 22 dan 23 Ogos ini, bermula 11 pagi hingga 9 malam.
Melalui petunjukan ini, ia dapat membuktikan kemantapan Discovery Sport melalui jalan curam dan mendaki Terrapod tersebut. Ia telah diperincikan agar mampu untuk menggalas tugas di laluan yang mencabar, dengan 212mm jarak antara badan kenderaan dan tanah, dengan sudut-sudut pendekatan, pelepasan dan breakover masing-masing pada 25, 31 dan 21 darjah. Ini bermaksud bahagian depan, tengah dan belakang SUV ini mampu memanjat, melepasi dan menuruni halangan ekstrem dalam kelajuan rendah.
Varian pacuan empat roda sepenuh masa Efficient Driveline yang ditawarkan di Malaysia juga mampu menuruni curam dengan kecondongan 45 darjah, 14 darjah melebihi pesaing lainnya dalam segmen SUV. Dalam keadaan ekstrem, bahagian bawah pada bampar depan boleh dibuka bagi memberikan sudut mendekati halangan yang lebih baik.
Previu Land Rover Discovery Sport