Honda Civic Type-R Concept bakal ditayangkan di Geneva Motor Show 2014
Pastinya ia menjadi satu berita yang menggembirakan buat Honda-Mania yang ternanti-nanti kelibat jentera penuh hensem, agresif dan maskulin ini.
Honda baru sahaja mendedahkan lakaran rekaan bagi Civic Type R concept yang bakal ditayang di Geneva Motor Show ke-84 awal bulan Mac ini.
Dengan paras rupa yang lebih agresif, difahamkan Honda bakal memulakan produksi Civic Type R ini tidak lama lagi. Malah Honda turut mensasarkan jentera hot-hatch ini bakal berada di pasaran dunia sebelum tahun 2015 melabuhkan tirainya.
Merujuk pada rekaan “racing car for the road” oleh pasukan pereka Honda sendiri, Civic Type-R concept ini ternyata mengekspresikan gaya yang lebih utuh dengan karakteristik prestasi yang menguja. Dengan menampilkan elemen-elemen yang menonjolkan gayanya seperti kit kerangka yang memang mengancam, rear wing yang bersaiz besar dengan lampu belakang yang seakan terbina di dalam, pastinya imej jentera hot-hatch ini begitu menggiurkan.
Sistem ekzos berkembar pada bahagian belakang dengan rim aloi hitam-merah memperlengkapkan lagi imej Civic Type-R ini.
Generasi keempat Civic Type-R ini dikatakan bakal dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat silinder yang mampu memuntahkan kuasa maksimum sekurang-kurangnya 277hp dan tork tertinggi 400Nm. Tetapi difahamkan Honda sedang berhempas pulas untuk memastikan jentera ini mampu mencapai kuasa maksimum sehingga 300hp!
Ia turut disatukan dengan kotak gear manual enam kelajuan bagi memberikan kuasa pengendalian yang paling optimum.
Ok Honda-Mania..jom sama-sama menantikan kelibat penuh Civic Type-R ini bulan hadapan!