Porsche 911 GT3 RS bersedia mengaum di Malaysia – Harga bermula RM1.75 juta
Sempena dengan Porsche Carrera Cup Asia 2015 Pusingan 9 dan 10 yang sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sime Darby Auto Performance turut mengambil kesempatan ini untuk melancarkan model baharu 911 GT3 RS.
911 GT3 RS generasi kelima ini dilancarkan oleh CEO SDAP Arnt Bayer, bersama pelumba Chris Van der Drift, Craig Baird dan Alif Hamdan.
Pertama kali diperkenalkan di Geneva International Motor Show 2015 lalu, 911 GT3 RS baharu ini dilengkapi dengan pelbagai teknologi permotoran yang selalunya digunakan bagi sebuah jentera lumba tetapi boleh dijadikan sebagai pengangkutan harian.
Modifikasi intensif dilakukan pada sistem pemanduan, aerodinamik dan beratnya bagi menambahkan prestasi melebihi 911 GT3. 911 GT3 RS mampu mencatat masa pusingan sehingga tujuh minit dan 20 sata, mengatasi catatan masa yang disempurnakan oleh jentera super sports car Carrera GT iaitu tujuh minit dan 29 saat bagi melengkapkan pusingan di North Loop, Nurburgring.
Menurut Bayer, “911 GT3 RS memberikan gambaran yang sungguh sporty dengan penuh emosi. Ia menjanjikan pemanduan yang dinamik dan pengalaman yang intensif. Sebelum ini, tiada lagi “jentera jalanan GT” yang agak menyerupai Cup dan RSR, daripada segi visual dan fungsinya.”
Diserapkan dengan prestasi yang menguja, 911 GT3 RS ini dijanakan oleh enjin 4.0 liter enam-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 500 hp dan puncak tork 460 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi PDK aspirasi natural yang dibangunkan khas untuknya.
Dengan enjin yang penuh berkuasa ini, 911 GT3 RS mampu mencatat masa pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 3.3 saat dan 01-200km/j hanya 10.9 saat. Ia turut memberikan penjimatan bahan api sekitar 12.7 liter bagi setiap 100 km.
Bagi menghadiahkan sebuah pemanduan yang berdinamik, 911 GT3 RS ini turut didatangkan “paddle neutral” yang fungsinya seperti menekan klac bagi kotak gear manual konvensional dan butang Pit Speed iaitu pengehad kelajuan yang disesuaikan untuk kegunaan sukan bermotor. Ini memberikan pemandu lebih banyak kebebasan dari segi pemanduan dinamik di samping menyalurkan lebih bantuan apabila memandunya di litar lumba.
Malah 911 GT3 RS ini direka dengan rekaan yang lebih ringan dan buat pertama kali bahagian bumbungnya diperbuat daripada magnesium, enjin dan penutup bahagian barangan daripada gentian karbon serta banyak lagi material yang lebih ringan untuk beberapa bahagian. Ini menjadikan model RS ini 10kg lebih ringan berbanding 911 GT3.
Selain itu, bumbung yang lebih rendah digambarkan sebagai pusat graviti bagi sebuah jentera sport turut ditampilkan. Ia bagi menambah baik sisi dinamik yang lebih baik. Manakala penutup spoiler hadapan telah dipanjangkan dan bahagian sayap belakang yang lebih besar untuk imej yang lebih dominan.
Manakala casis 911 GT3 RS juga telah ditala untuk memberikan pemanduan dinamik pada tahan maksimum. 911 GT3 RS turut dipadankan dengan tayar yang paling lebar di antara model 911 sebagai standard. Secara tidak langsung memberikan kemantapan yang lebih optimum dan berkarakteristik terutamanya ketika berada dalam kelajuan yang tinggi di selekoh.
Bagi bahagian kabinnya, 911 GT3 RS dilengkapi elemen Alcantara, sama seperti model 911 GT3 sedia ada. Selain itu, terdapat satu elemen baharu yang ditampilkan ialah tempat duduk lekuk-sepenuhnya (full bucket), yang diinspirasikan dari tempat duduk karbon jentera 918 Spyder.
Antara elemen standard yang lain yang turut ditampilkan termasuklah Club SPort Package dengan roll cage di bahagian belakang, butang utama bateri dan enam-point abah-abah keselamatan (safety harness) untuk pemandu dan pemadam api.
Sebagai pilihan, ia turut ditawarkan dengan Sport Chrono Package yang menampilkan aplikasi Porsche Track Precision untuk telefon bimbit pintar. Ia digunakan untuk mencatat secara automatik masa pusingan menerusi GPS dan log data di dalam telefon bimbit pintar untuk parameter pemanduan termasuk kelajuan jentera, dan sebagainya.
Harga bagi 911 GT3 RS baharu ini bermula RM1,750,000 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans) yang turut didatangkan dengan waranti pengilang selama empat tahun.