Audi A7 Sportback muncul dengan model facelift – Harga RM626k
Audi Malaysia mengumumkan model Audi A7 Sportback versi facelift telah pun berada di pasaran.
Ia dihadirkan dengan interpretasi yang baharu dengan gril bingkai tunggal ciptaan Audi.
Versi ini ditampilkan dengan bonet yang lebih panjang, overhang hadapan yang dipendekkan, garisan sisi yang penuh maskulin, gandar belakang yang memiliki orientasi lebih kukuh dan juga rim aloi jejari-lima rekaan-V 19-inci cukup menyerlahkan lagi imej A7 ini.
Ia juga dilengkapi dengan lampu utama LED dan lampu belakang yang lebih dinamik bersama indikator lampu isyarat.
Bagi ruang kargonya, ia mampu memuatkan kapasiti sehingga 535 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,390 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan.
Manakala kekemasan ‘Aluminium Delta’ menghiasi bahagian papan pemuka, selain tempat duduk balutan kulit ‘Valcona’ dengan pelarasan secara elektronik dan pengudaraan untuk tempat duduk pemandu dan penumpang di hadapan serta roda stereng dan tombol gear balutan kulit turut ditampilkan.
A7 Sportback ini juga ditampilkan dengan sistem navigasi MMI, fungsi ‘Audi Connect’ dengan Google Earth dan sambungan WiFi menerusi transmisi LTE dari kad sim.
Manakala untuk hiburan pula, ia turut didatangkan dengan sistem bunyi Bose bersama 12 saluran amplifier dan 14 pembesar suara.
Selain itu, ia turut didatangkan dengan skrin paparan berwarna lapan-inci (berbanding 6.5-inci pada model sebelumnya).
A7 Sportback ini juga turut menampilkan sistem start/stop dengan pemulihan tenaga, bantuan parkir, kamera undur, spoiler belakang automatik yang boleh digunakan pada kelajuan 130 km/j ke atas untuk kestabilan yang lebih mantap.
Dijanakan oleh enjin petrol 3.0 liter TFSI V6, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 333 hp dan tork 440 Nm antara 2,900 hingga 5,300 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi S tronik tujuh-kelajuan dan pacuan semua-roda quattro.
Ini membolehkan A7 Sportback dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 5.3 saat iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding model sebelumnya. Ia juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j. Manakala anggaran bagi penggunaan bahan apinya adalah sekitar 7.6 liter bagi setiap 100km.
Jentera ini turut dilengkapi dengan lapan beg udara, ECS termasuk electronic differential lock.
Ia menawarkan tujuh pilihan warna iaitu Glacier White, Ibis White, Floret Silver, Dakota Grey, Oolong Grey, Tornado Grey dan Mythos Black.
Audi A7 Sportback ini ditawarkan pada harga atas jalan dari RM625,900 tanpa insurans.