Toyota Prius 2016 bakal dilancarkan di Jepun
Selepas seketika berteka-teka, Toyota akhirnya memperkenalkan model Prius 2016 yang dijangka bakal dipasarkan pada penghujung tahun ini.
Imej yang ditampilkan tidaklah banyak perbezaannya, namun ia memiliki karakteristik “gaya jalanan” yang dipengaruhi dari model Mirai dan menggunakan sepenuhnya konsep baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) yang membawakan kelainan berbanding model sedia ada.
Menurut Toyota, casis bagi Prius baharu ini 60% lebih tegar bagi menambahkan prestasi dan kestabilannya. Selain itu, Toyota turut meningkatkan penjimatan bahan api yang lebih ekonomi dan menambah efisiensi haba melebihi 40%.
Manakala bateri hibrid yang digunakan bersaiz lebih kompak dan kecil berbanding sebelum ini, namun lebih tahan lama dan mampu meningkatkan kuasa pengecasan. Walau bagaimana pun, Toyota masih enggan mendedahkan perincian lanjut mengenai mekanikalnya.
Bagi Prius baharu ini, ia memiliki ukuran 60 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding model sebelumnya. Sekali gus menambahkan lagi ruang yang lebih luas dalam kabin termasuk ruang penyimpanan barangan.
Malah ia juga dipadankan dengan suspensi hadapan baharu dan belakang masih menggunakan double wishbone.
Bagi aspek keselamatan, ia turut menampilkan lane departure alert, pre-collision system, dynamic radar cruise control, automatic high beam dan road sign assist.
Toyota Prius 2016 ini didatangkan dengan tujuh pilihan warna termasuk warna baharu iaitu Hypersonic Red. Ia bakal dilancarkan tidak lama lagi di Jepun.
1 Comment