Hyundai Elantra/Avante 2016 lebih versatil
Seperti mana yang dijanjikan bulan lalu, Hyundai South Korea telah menyebarkan beberapa foto dan perincian mengenai model Elantra/Avante 2016 spesifikasi-KDM.
Kompak sedan baharu ini telah diperbaharui saiznya iaitu 20 mm lebih panjang (kini 4,570 mm), 25 mm lebih lebar (1,800 mm) dan 5 m lebih tinggi (1,440 mm) berbanding model sedia ada. Tetapi ukuran jarak rodanya dikekalkan iaitu 2,700 mm.
Rekaan luaran model ini turut diperkemaskinikan, termasuk padanan gril berbentuk haksagon yang lebih besar dengan kekemasan krom serta lampu utama umpama rekaan Jaguar serta lampu nyalaan siang LED untuk model spesifikasi tinggi.
Profil sisinya turut diserlahkan dengan bumbung yang lebih landai, rim aloi rekaan baharu dan pemegang pintu krom yang menampakkan sedikit sentuhan kemewahan.
Bagi bahagian belakangnya pula, ia tidak banyak perubahan termasuk dengan adanya padanan spoiler dan antena ‘sirip jerung’.
Bahagian kabinnya, tidak banyak yang dimaklumkan lagi, cuma kelihatan ia digandingkan dengan roda stereng tiga-jejari dengan butang kawalan, paparan bersaiz lapan-inci untuk sistem hiburan, pedal aloi dan ia dikatakan memiliki lapan pembesar suara JBL.
Berkenaan dengan penjana kuasa, Avante spesifikasi KDM ini bakal dimonopoli enjin 1.6 liter turbodiesel yang mampu menghamburkan sehingga 136 PS dan transmisi manual enam-kelajuan atau pilihan klac-berkembar tujuh-kelajuan.
Selain itu, ia turut ditawarkan dengan enjin pilihan 2.0 liter petrol dengan hamburan kuasa 142 PS serta 1.6 liter LPG dengan 120 PS.
Hyundai turut memaklumkan, model baharu ini juga dipadankan dengan tujuh beg udara, Brek Kecemasan Automatik (dengan pengesan pejalan kaki), Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Pengesan Titik Buta.