Hyundai Santa Fe menang anugerah Nilai Bagi Wang segmen SUV saiz sederhana oleh U.S News & World Report
Bukan mudah untuk jenama dari Korea Selatan, Hyundai menembusi pasaran Amerika Syarikat. Namun selepas berhempas pulas menyaingi kebanyakan jenama dari negara tersebut termasuk Eropah dan Jepun, akhirnya usaha yang dilakukan membuahkan hasil.
Baru-baru ini Hyundai Santa Fe 2014 telah memenangi anugerah Nilai Bagi Wang segmen Kenderaan Sport Utiliti (SUV) bersaiz sederhana oleh U.S. News & World Report. Ia merupakan salah satu anugerah daripada 21 kategori yang dipertandingkan iaitu penilaian terhadap kenderaan sub-kompak hinggalah ke pikap bersaiz besar.
Menurut Editor Pengurusan U.S. News & World Report, juri yang terdiri daripada penulis automotif telah sebulat suara memilih Santa FE selepas menguji prestasinya dan turut diambil kira elemen yang ditampilkan, keselesaan dan keluasan kabinnya.
Selepas diumumkan sebagai pemenang kategori terbabit, Pengarah, Divisyen Perancangan Produk, Hyundai Motor America, Scott Margason pula berkata, semasa mereka semula Santa Fe ini, pihak Hyundai mahu menghasilkan model yang agak berlainan dengan model-model lain di bawah segmen SUV bersaiz sederhana.
Malah Hyundai turut mengambil kira pandangan para pelanggan tentang apa yang diingini untuk sebuah SUV. Rata-ratanya mahukan teknologi terbaharu sebagai standard, rekaan yang menawan, aspek keselamatan yang diyakini dan jaminan terbaik industri. Maka Santa Fe 2014 diolah untuk menjadi seperti mana yang diingini oleh pasaran.
U.S. News turut menilai 225 kenderaan lain untuk kategori yang sama. Pemarkahan telah diambil untuk menentukan kenderaan manakah yang layak dinobatkan sebagai juara. Manakala untukkemuncak penganugerahan iaitu ‘Kenderaan Terbaik Tahunan’ pula, markah tertinggi daripada setiap kategori diambil bagi menentukan pemenangnya.
Senarai penuh pemenang bagi setiap kategori boleh diketahui melalui laman sesawang rasmi U.S. News.