Cerita disebalik kejayaan Nissan Teana terima penarafan 5 bintang dari ASEAN NCAP
Nissan Teana 2014 telah pun menerima penarafan lima bintang dari dalam program keselamatan ASEAN NCAP. Ia adalah bagi bagi segmen ujian Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan ujian Pelindungan Penumpang Kanak-kanak (COP).
Di mana Teana 2.0 XL CVT yang dipasang di Thailand untuk pasaran negara berkenaan, Malaysia dan Singapura ini menerima sebanyak 16 markah bagi ujian AOP serta juga lulus dalam ujian impak bahagian tepi UN R95.
Malah Teana juga menjadi model pertama yang menerima penarafan lima bintang bagi COP di dalam ujian ASEAN NCAP ini dengan markah 43 daripada 49 iaitu meliputi sejumlah 88%.
Penarafan ini sekali gus mencipta sejarah bagi Nissan secara amnya kerana sebelum ini tidak pernah ada modelnya yang menerima markah penuh bagi ujian yang dilakukan oleh pihak Miros ini. Malahan mencipta satu lagi rekod baharu apabila memonopoli segmen berkenaan yang rekodnya (sehingga kini) tidak pernah dipecahkan lagi.
Untuk rekod, Teana merupakan model ketiga keluaran Nissan yang berjaya di dalam ujian ASEAN NCAP selepas model March pernah menerima empat bintang bagi AOP pada November 2012. Sementara itu, Almera juga pernah menerima penarafan empat bintang bagi AOP pada Julai 2013.
Selepas lebih enam bulan keputusan ini diumumkan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengundang sekumpulan media permotoran tenpatan untuk mendengar taklimat ringkas daripada pihak Miros sendiri berhubung dengan kejayaan yang dirangkul oleh Teana ini.
Taklimat yang dikendalikan oleh pihak Miros dengan diketuai oleh Khairil Anwar Abu Kassim selaku Setiausaha Agung Miros bersama wakil pasukannya yang bertanggungjawab di dalam melakukan ujian terhadap Teana ini.
“Untuk Teana, kami memilih varian 2.0 liter XL CVT, dan selepas melakukan ujian AOP iaitu menguji prestasi kenderana dalam melindungi penumpang dewasa jika terlibat dalam impak pelanggaran, model ini ternyata mencapai piawaian yang diperlukan. Malah telah memperoleh markah penuh iaitu 16/16,” ujar Khairil.
Sambungnya lagi, “Ujian COP iaitu menguji prestasi kenderaan dalam menyediakan suasana keselamatan yang baik bagi bayi dan kanak-kanak jika kerusi keselamatan Child Restraint System (CRS) digunakan, turut memberikan penarafan lima bintang pada Teana.”
Antara ujian yang dilakukan bagi menentukan penarafan AOP dan COP ialah ujian pelanggaran iaitu mengetahui kesan dinamik sekiranya berlaku pelanggaran, adakah model terbabit mempunyai sifat mesra pengguna bagi memasang kerusi keselamatan bayi/kanak-kanak, dan sebagainya.
Menurut Miros, bagi AOP, ujian yang paling penting iaitu Ujian Perlanggaran Hadapan-Sisi yang menggunakan patung ujian yang diletakkan di dalam kenderaan pada bahagian pemandu, penumpang hadapan dan dua patung kanak-kanak di dalam kerusi keselamatan bayi. Kenderaan itu diuji dalam kelajuan 64 km/j apabila ia melanggar objek.
“Keputusan yang diperoleh adalah berdasarkan penilaian terhadap kesan perlanggaran dan impak pada patung ujian tersebut yang diklasifikasikan sebagai bahagian badan manusia,” ujar Khairil lagi.
Menjawab pertanyaan media mengenai pemilihan kenderaan yang diuji, Khairil menjelaskan, “Pemilihan model kenderaan yang diuji adalah dari spesifikasi paling rendah iaitu yang mempunyai elemen keselamatan yang paling asas. Ia juga bergantung pada ketersediaan sumber dalam tempoh setiap fasa ujian termasuk bila ia diperoleh, masa pelaksanaan fasa dan juga keadaan kewangan.”
Menurut Khairil lagi, jumlah kenderaan yang akan diuji juga bergantung pada faktor kewangan dan kapasiti makmal pelanggaran termasuk model kenderaan yang mungkin akan diperoleh menerusi tajaan.
Miros juga akan memperkenalkan roadmap baharu yang bakal dibentangkan di Bandung, Indonesia, tidak lama lagi. Menerusi roadmap tersebut, ia turut akan memperkatakan ujian perlanggaran sisi yang bakal dilaksanakan, dan menyelaraskan hanya satu penarafan sahaja yang boleh digunakan (diiktiraf) di rantau ini.