Land Rover Discovery Sport HSE Dynamic Lux lebih berdinamik
Land Rover turut mengambil kesempatan untuk mempamerkan Discovery Sport HSE Dynamic Lux di Frankfurt Motor Show 2015 yang bakal berlangsung mulai 17 Sept ini.
Tampil dengan rekaan yang lebih menarik, Discovery Sport HSE Dynamic Lux turut memiliki banyak penambahbaikan bahagian luaran termasuk perincian Narvik Black dan rim bersaiz 20-inci hitam berkilat.
Ketua Pegawai Kreatif & Pengarah Pereka Land Rover, Gerry McGovern berkata, “Discovery Sport Dynamic dihasilkan bagi menambahkan lagi penggayaan dari Discovery Sport. Hitam berkilat menjadi warna utama pada bahagian luaran, secara tidak langsung memberikan pandangan yang lebih sporty.”
Keupayaan Discovery Sport dipertingkatkan dengan keupayaan All Terrain Progress Control (ATPC) iaitu sistem tambahan yang membolehkan pemandu menentukan dan mengekalkan kelajuan yang diperlukan ketika merentasi laluan off-road.
Dibangunkan oleh Land Rover sendiri, ATPC ini berfungsi lebih kurang seperti sistem kawalan kelajuan, yang beroperasi antara 1.6 km/j dan 30.5 km/j. Sistem ini mengikut keadaan kenderaan sewaktu melalui permukaan yang tidak rata serta sukar dan akan membantu mengawal kenderaan supaya lebih lancar dan mudah dikendalikan.
Selain itu, ia juga ditampilkan dengan Active Driveline iaitu butang pintar bagi kawalan dua- dan empat-pacuan roda. Klac kawalan elektronik yang beroperasi mengikut peredaran tork pada roda akan menjadi lebih mencengkam seperti mana yang dikehendaki. Ia juga akan memantapkan lagi pengendalian pada laluan yang sukar dan gandar belakang boleh ‘dikunci’ apabila berada di laluan licin.
Manakala Adaptive Dynamics dengan peredam MagneRide™ pula akan menambah keselesaan pemandu dan penumpang. Ia menawarkan pelarasan yang lebih adaptif bergantung pada keadaan jalan. MagneRide™ pula akan membantu mengurangkan olengan badan kenderaan dan meningkatkan lagi kemantapan serta kestabilan sewaktu merentasi laluan yang sukar.
Land Rover akan membongkarkan lebih banyak perincian mengenai model ini sewaktu detik pengenalannya di Frankfurt kelak.