ETCM bakal melancarkan 5 model baharu untuk 2014
Selepas 2013 mencatatkan sebagai tahun yang bertuah bagi Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dengan jualan tertingginya iaitu 51,875 unit dan mengekalkan kedudukan di tangga kedua dalam segmen kenderaan bukan nasional, tahun ini juga syarikat yang bertanggungjawab mengedarkan model kenderaan Nissan dan Infiniti ke Malaysia telah menyusun rentak lebih agresif lagi.
Dalam majlis makan malam bersama pihak media sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina semalam, Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk David Chen, telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan lima model baharu untuk tahun ini.
Model kenderaan yang pastinya bakal mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia ini ialah Teana serba baharu, Sylphy serba baharu, dan juga Livina X-Gear yang dinaik taraf.
Malah kemungkinan besar dalam senarai model yang bakal dilancarkan juga ada disertakan Nissan Note yang pernah dipamerkan semasa KLIMS13 yang lalu.Menurut Maybank Research, Note dijangka bakal dilancarkan pada akhir 2014 ini.
ETCM yang turut bertanggungjawab mengedarkan model kenderaan mewah jenama Infiniti juga bakal melancarkan Infiniti Q50 pada tahun ini juga.
Nampak gayanya ETCM kian rancak menyusun strategi dan berusaha keras untuk menyaingi jenama persaing terdekatnya termasuk Toyota dan Honda.