Renault CLIO GT LINE penuh emosi – Harga anggaran RM118k
TC Euro Cars, pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia hari ini melakukan prebiu model Renault CLIO GT LINE Baharu yang dinamik dan sporty. Jentera itu direka untuk menarik minat para pelanggan menerusi gabungan emosi, pengendalian, prestasi dan penjimatan bahan api yang mengagumkan.
Ideal buat para pemandu yang mahukan gaya sporty, tetapi tidak pula memerlukan model R.S yang berprestasi tinggi, Renault CLIO GT LINE Baharu nyata meneruskan tradisi Renault dalam menawarkan inovasi pintar bersama reka bentuk tersendiri yang memperkayakan kehidupan para pelanggannya.
“Renault CLIO GT LINE Baharu dibina di atas kekuatan utama model Clio dan cukup versatil untuk kegunaan harian, di samping tradisi inovasi yang panjang dalam segmennya. Kualiti pengendaliannya juga luar biasa. Dengan Renault CLIO GT LINE Baharu, rakyat Malaysia kini boleh memiliki sebuah versi arus perdana Clio iaitu model terlaris Renault yang seronok untuk dipandu dan kos pemilikan rendah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn. Bhd., Kuan Kim Luen.
Bahagian hadapannya ditampilkan dengan logo besar Renault yang diposisikan secara menegak dengan latar berwarna hitam berkilat. Ia turut diserlahkan dengan lampu utama dengan kekemasan krom serta lampu nyalaan siang LED yang lebar.
Pada bahagian belakang, penampilannya diserlahkan dnegan reka bentuk bampar yang istimewa. Acuan pelindung sisinya menggunakan warna yang sama dengan badan kenderaan.
Sementara kemasan besi, perumah cermin sisi, cermin belakang berwarna gelap, rim aloi khas bersaiz 17-inci dan lencana GT LINE dilekatkan pada pintu belakang. Model ini juga menampilkan spoiler daripada model Clio R.S.
Hanya setinggi 1,488 mm, kedudukan yang rendah itu bukan sahaja memberikan postur yang lebih tegap, malah meningkatkan aspek aerodinamik. Manakala bahagian hadapan dan trek belakang yang lebar menambah kestabilan dan cengkamannya di atas jalan raya.
Dengan garis-garis sisi yang jelas, siluet Renault CLIO GT LINE baharu yang nampak seperti sebuah coupe diserlahkan lagi dengan hendal pintu bersepadu dan agak tersorok di bahagian lampu belakang.
Manakala ruang kabin Renault CLIO GT LINE baharu jelas menyempurnakan gayaan luaran untuk mencetuskan rasa yakin serta bertenaga. Ia menampilkan papan pemuka berwarna kelabu yang berbentuk seperti sayap pesawat. Sistem multimedia diletakkan pada kedudukan yang optimal di tengah konsol.
Tempat duduk yang selesa hadir bersama upholsteri istimewa. Sementara tempat-tempat penyimpanan barang boleh didapati di seluruh kabin dan ketelitian ke atas semua perincian dapat dilihat dengan jelas.
Stereng yang sporty itu dibalut dengan kulit. Bukan itu sahaja, sama seperti Clio R.S., CLIO GT LINE baharu juga dilengkapi lencana pelindung sil pintu Renault Sport.
Hot hatch ini dijana oleh enjin Turbo Control Efficiency atau TCe 120 Renault. Ia merupakan satu rangkaian kuasa moden yang hadir dalam sesaran enjin empat-silinder kecil dan sebuah pengecas turbo. Enjin ini berupaya menawarkan prestasi yang sama dengan enjin aspirasi biasa 1.8 liter.
Dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan yang menjanjikan penukaran gear yang pantas dan lancar, rangkaian kuasa baharu Renault itu membolehkan ia menjana kuasa maksimum 118hp pada 4,900rpm dan tork puncak 190Nm yang boleh diperolehi dari putaran enjin serendah 2,000rpm.
Ia memberikan pecutan berkuasa dari 0-100km/j dalam masa 9.4 saat sahaja. Pada masa yang sama, enjin yang berkuasa dan menjimatkan ini menawarkan penjimatan sehingga 5.2L/100km1 dan emisi CO2 cuma 120g/km.
Sebagai tambahan, dengan menggunakan mode ECO yang menukar cara operasi rangkaian kuasa secara automatik, penjimatan bahan api sehingga 10 peratus boleh dicapai.
Bagi pengendalian yang lebih dinamik, ia dipadankan dengan suspensi hadapan jenis topang MacPherson pada roda hadapan disambungkan kepada wishbone tiga segi pada sudut yang tepat bersama sesendal (bushes) berkembar.
Penyerap hentak yang berkesan dibantu oleh penahan hentakan (bump stops) yang kini diperbuat daripada poliuretana. Ia lebih agresif berbanding reka bentuk lama dan menawarkan lebih keselesaan kepada versi CLIO GT LINE ini.
Dengan pengurangan berat dan kaliberasi optimum stereng bantuan kuasa elektrak (EPS) serta rak stereng lebih pantas, kereta ini semakin mudah untuk menukar haluannya menerusi jejari pusingan 10.6 meter.
Sebagai tambahan, ia turut dilengkapi sistem Renault Bass Reflex. Sistem bunyi pintar ini diintegrasikan bersama unit pembesar suara pada pintu hadapan. Ia mampu menyalurkan volum dan kepuasan mendengar seperti sistem teater rumah.
Selain itu, ia dilengkapi dengan MediaNav bersama skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci dengan sambungan AUX, USB, Bluetooth, navigasi, alat pengesan parkir belakang, kawalan jelajah dan pengehad kelajuan dan penghawa dingin pintar.
Bagi aspek keselamatan pula, hot hatch yang telah mendapat penarafan lima bintang dari Euro NCAP ini tampil dengan elemen penting termasuklah enam beg udara, bantuan pemanduan termasuk ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Roll Movement Intervention, ASR dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).
Selain itu, ia turut didatangkan dengan tali pinggang keledar pra-regangan dan pengehad beban (pra-regangan untuk tempart duduk hadapan sahaja), perehat kepala anti-piat, satu ruang penyimpanan barang serta tempat duduk ‘Fix4sure’ di hadapan dan belakang.
Dikilangkan di Bursa, Turki, Renault CLIO GT LINE baharu ini dibina berdasarkan kepada standard kualiti Renault. Kilang itu menghasilkan produk berkualiti tinggi dengan standard sama seperti kilang Renault di Dieppe, Perancis yang mengeluarkan model Clio R.S.
Ia didatangkan dalam empat warna iaitu merah (Flame Red), hitam (Diamond Black), putih (Glacier White) dan biru (Malta Blue).
Ia bakal ditawarkan pada harga anggaran RM118,000 dengan penambahan RM5,000 untuk warna merah (Flame Red). Ia dijangka berada di pasaran pada suku keempat 2015.
Sama seperti semua kereta penumpang Renault yang lain, selang servis Renault CLIO GT LINE Baharu adalah 10,000km atau enam bulan, mana-mana tiba dahulu. Ia juga hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Tidak seperti jaminan lanjutan kenderaan baharu yang lain, jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault.