Litar Johor dirombak – Menumpukan sukan bermotor di peringkat akar umbi termasuk akademi pemanduan & muzium
Sejak dibuka pada tahun 1986, Litar Johor yang terletak di Pasir Gudang ini telah menyaksikan pelbagai aksi perlumbaan. Malah ia boleh dianggap sebagai satu litar yang cukup ‘legend’ selain Litar Batu Tiga. Antara perlumbaan yang pernah berlangsung di sana termasuklah Superbike World Championship pada tahun 1992 dan Motocycle Grand Prix 1998.
Selepas Litar Antarabangsa Sepang beroperasi dan menjadi tumpuan penganjuran sukan permotoran, Litar Johor ini kian sepi. Hanya perlumbaan kecil sahaja dianjurkan di situ.
Bagi menyambung kegemilangannya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris telah mengumumkan bahawa litar ini bakal dirombak dan diperbaharui. Pengumuman yang dibuat menerusi Instagram ini turut mengesahkan beberapa perancangan bakal dilaksanakan untuk memberikan nafas baharu pada Litar Johor ini.
Antaranya penubuhan akademi pemanduan di sambing membina muzium bagi mempamerkan sejarah permotoran di negera Johor.
Umum sedia maklum, minat yang mendalam terhadap dunia automotif yang ditunjukkan oleh keluarga DiRaja Johor ini termasuk memiliki himpunan pelbagai model kenderaan mewah mendorong rombakan Litar Johor ini dilakukan.
Tunku Idris turut berkata, “Litar ini adalah untuk rakyat, untuk bangsa Johor dan semua peminat kereta.”
Setakat ini, tiada butiran terperinci dikhabarkan namun Tunku Idris turut telah mendedahkan logo baharu bagi litar ini termasuk bentangan rekaan litar.
Semoga Litar Johor dapat meneruskan kegemilangannya di dalam arena sukan bermotor!