Lexus IS 200t bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi?
Lexus Malaysia telah pun mendedahkan perician spesifikasi bagi model Lexus IS 200t menerusi laman web rasminya.
Ia bakal didatangkan dengan tiga varian iaitu Premium, Luxury dan F-Sport dengan menampilkan beberapa elemen yang telah ditambah baik.
IS 200t menampilkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 241 hp pada 5,800 rpm dan tork puncak 350 Nm pada 1,650 hingga 4,400 rpm.
Ia turut dipadankan dengan transmisi Sport Direct Shift lapan-kelajuan yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.0 saat dan kelajuan maksimum pula boleh dicatat antara 225 km/j hingga 230 km/j. Lexus turut mendakwa penggunaan bahan api bagi jentera ini adalah sekitar 7.0L/100 km.
Turut ditampilkan ialah Paparan Titik Buta bersama fungsi Kepekaan Trafik Lintasan Belakang dan 10 beg udara.
Malah IS 200t ini juga lebih ringan berbanding model terdahulu iaitu hanya seberat 2,125 kg.
Buat masa ini, harganya (tanpa insurans) dijangka bermula RM278,400 bagi Premium, Luxury pula RM311,900 dan F-Sport pula RM344,900.