BMW X3 xDrive20d dilaporkan turut “menipu” di dalam ujian oksida nitrogen
Skandal “penipuan” mengenai ujian asap atau emisi yang sedang hangat diperkatakan tidak hanya terpalit pada Volkswagen dan Audi sahaja. Bahkan ia kini sedang “menjangkiti” BMW yang dilaporkan telah dikesan turut terlibat dalam skandal yang lebih kurang sama.
BMW menerusi model X3 xDrive20d dilaporkan telah “menipu” dalam ujian pelepasan oksida nitrogen iaitu sebenarnya melebihi 11 kali ganda berbanding tahap yang dibenarkan. Ujian ini dikendalikan oleh International Council on Clean Transportation (ICCT).
Di mana hasil dakwaan itu telah menunjukkan bahawa model tersebut telah melanggarkan tahap Euro 6 untuk enjin diesel.
Walau bagaimana pun, menurut Pengarah Urusan ICCT, data yang diperoleh ini tidak menjurus ke arah skandal yang melanda Volkswagen dan Audi. Namun, perkara ini masih dalam siasatan.
Dalam masa yang sama, BWM menafikan telah menggunakan taktik yang lebih kurang sama dengan Volkswagen untuk melepasi ujian emisi ini. Malah BMW turut menegaskan supaya “tidak melakukan sebarang spekulasi” berhubung perkara ini dan akan memantaunya mengikut peruntukan undang-undang setiap negeri serta bersedia untuk menjalani ujian sekali lagi.
BMW juga akan menghubungi pihak ICCT sendiri untuk “mendapatkan penjelasan mengenai ujian yang dilakukan itu”.
Walau pun belum mengetahui sejauh mana kebenaran isu ini, difahamkan saham BMW telah merundum sebanyak 9.7% selepas berita ini bertebaran, menurut laporan Bloomberg.