Tarikh akhir pendaftaran VEP dilanjutkan hingga akhir 2015
Pendaftaran Caj Jalan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikhabarkan bakal dilanjutkan sehingga akhir tahun ini, laporan akhbar The Star.
Caj Jalan ini adalah untuk Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing yang memasuki Malaysia melalui Johor.
Keputusan ini diambil bagi memberikan tempoh yang lebih lama untuk pemilik kenderaan asing itu mendaftar Caj Jalan ini, serta dalam masa yang sama pihak JPJ turut sedang meningkatkan lagi sistem yang sedia ada.
Ia juga adalah bagi membolehkan segala proses perlu seperti kaedah penyerahan kad pengenalan gelombang radio (RFID) dapat dibuat dengan sempurna dan kelulusan antara kedua negara dapat diperolehi.
Setakat awal September ini, hanya 45,000 kenderaan asing sahaja yang telah berdaftar untuk VEP dan Caj Jalan.
Pendaftaran atas talian (online) bermula 15 Ogos dan pemilik kenderaan perlu membayar RM10 bagi yuran jalan raya, yang sah digunakan selama lima tahun, sebelum pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan RFID.
VEP dikenakan ke atas kenderaan persendirian penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan serba guna sukan (SUV).
Kenderaan kerajaan, motosikal, bas awam dan teksi dikecualikan daripada bayaran tetapi masih perlu berdaftar dengan JPJ.
Sumber foto : http://en.m.wikipedia.org/wiki/File:Linkedua-Expressway.JPG