Bosch dakwa beri Volkswagen perisian enjin diesel untuk ujian sahaja, bukan untuk kereta produksi
Akhbar mingguan Jerman, Bild am Sonntag, telah melaporkan Bosch sebenarnya yang bertanggungjawab membekalkan perisian enjin diesel yang sedang hangat diperkatakan kepada Volkswagen (VW). Namun ia hanyalah untuk kegunaan di peringkat ujian sahaja, bukannya diimplementasikan pada kereta produksi.
Bosch turut mengakui perkara ini, namun menegaskan pihaknya sendiri tidak menyangka perisian terbabit akan ‘digunakan’ pada kereta produksi.
Perkara ini pernah berlaku pada tahun 2007, di mana Bosch pernah memberi ‘amaran’ kepada VW tentang penyalahgunaan perisian pengurusan enjin pada kereta produksi, namun pihak VAG tidak mengendahkannya dan tetap memasang perisian tersebut. Kini terdapat hampir 11 juta unit kenderaan VW di seluruh dunia terlibat dengan skandal “defeat device” ini.
Malah amaran yang sama juga pernah dikeluarkan oleh salah seorang jurutera VW pada tahun 2011, namun perkara ini tidak diendahkan. VW bukan setakat memasang perisian ini pada enjin TDI, malah beberapa jenama lain turut terlibat termasuk Audi, SEAT dan Skoda.
Buat setakat ini, hanya enjin 2.0 TDI sahaja yang terlibat dengan siasatan, manakala 1.6 TDI pula akan dianalisa kerana dipercayai turut menggunakan perisian yang sama.
Malah pihak Agensi Pelindungan Alam Sekitar (EPA), Amerika Syarikat, juga telah memulakan siasatan baharu untuk enjin 3.0 liter TDI. Dan jika dakwaan ini benar, maka kebarangkalian Porsche juga terlibat sama.