Tujuh jalan KL ditutup esok sempena sambutan Ma’al Hijrah
Sempena dengan perarakan sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan yang bakal berlangsung di Masjid Negara esok, 14 Oktober, sebanyak tujuh jalan utama di sekitar ibu kota akan ditutup kepada semua kenderaan, memetik laporan Bernama.
Menurut bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semua jalan itu akan ditutup mulai 6.30 pagi sehingga 9 pagi, dan akan dibuka semula setelah semua peserta selamat sampai ke Masjid Negara.
Jalan-jalan yang terlibat dalam acara itu ialah Jalan Parlimen, Jalan Tun Perak, Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Hishamuddin, Bulatan Hishamuddin, Jalan Bangsar dan Jalan Perdana.
Di mana peserta perarakan akan berkumpul di lima lokasi iaitu di Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Padang Merbok, Dataran Merdeka, Muzium Kesenian Islam Jalan Perdana dan Muzium Negara, sebelum berarak ke Masjid Negara.
Program anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) itu dijangka disertai 50,000 peserta.