Impian Sultan Johor miliki trak ‘Mack’ tercapai
Impian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memiliki trak ‘Mack’ akhirnya tercapai. Majlis penyerahan trak ‘Mack’ termahal di dunia ini telah berlangsung di King George Square, Brisbane semalam.
Mengambil masa setahun untuk disiapkan oleh pengeluarnya, Wacol, di Brisbane, dipercayai trak tempahan khas ini bernilai A$481,000 (RM1,457,490), menurut laporan ABC News.
Terdapat beberapa keistimewaan pada trak ini termasuklah enam kamera litar tertutup, dua set televisyen berskrin rata, ruang dapur, barbeku, katil kelamin dan kerusi bersulamkan 72,000 jahitan benang emas. Malah ia juga memiliki perhiasan hud harimau bersadur emas.
Dalam majlis penyerahan tersebut, ternyata Baginda Sultan begitu gembira dan bertitah, “Ini impian beta. Beta sentiasa menghargai kemahiran kejuruteraan Australia dan mengumpul beberapa kereta Holden sejak beberapa tahun lepas. Beta tidak sabar untuk mempamerkan hasil buatan ini kepada rakyat Johor sebaik sahaja trak mewah ini dibawa masuk.”