LPT2 akan dinilai oleh badan bebas – Menteri Kerja Raya
Ekoran ‘telah’ mengorbankan 85 nyawa selepas mula beroperasi sejak Januari 2011 dengan jumlah kemalangan yang dicatatkan iaitu sebanyak 1,989 kes, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengeluarkan kenyataan, satu badan penilai bebas sudah dilantik untuk membuat penilaian keadaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Dijangka laporan awalnya akan dikemukakan pada minggu hadapan, memetik sumber Bernama.
Fadillah berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah untuk melantik badan penilai bebas tersebut bagi menilai semula permukaan lebuh raya itu sama ada ia mematuhi kadar kelicinan yang ditetapkan.
Di mana badan yang dilantik itu akan mengaudit tahap keselamatan berhubung belokan dan permukaan lebuh raya yang mungkin tidak rata.
Selain itu, ia juga akan membuat profil jalan sama ada berlaku mendapan yang menyebabkan jalan tidak rata yang boleh mendedahkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Sebaik mendapat laporan awal, langkah mitigasi termasuk menurap semula jalan atau memperbaiki lencongan akan diambil dengan segera,” ujarnya lagi.
Beliau berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan JKR juga diarahkan supaya menempatkan lebih banyak papan tanda amaran di lokasi berisiko berlaku kemalangan.
“Ini adalah tindakan segera yang diambil bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya berkenaan,” kata Fadillah.
Beliau berkata punca kemalangan di kebanyakan lebuh raya dalam negara adalah berpunca daripada kecuaian manusia, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik dan keadaan jalan yang tidak selamat.
Dalam masa yang sama, Fadillah menasihatkan pengguna LPT2 supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan dan had kelajuan yang ditetapkan ketika mengguna laluan itu.