PLUS bakal naikkan kadar tol pada 2016
Pada 15 Oktober lalu, sebanyak 18 lebuhraya terlibat dengan kenaikan kadar tol, di mana peningkatan antara 20 sen hingga RM2.30 bagi Kenderaan Kelas 1.
Walau bagaimana pun, semua lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Bhd tidak terlibat dan masih mengekalkan kadar tol buat masa ini. PLUS tidak mengubah kadar tolnya sejak tahun 2005.
Namun, dijangkakan empat daripada lima lebuhraya kendalian PLUS akan mengalami penstrukturan kadar tol pada tahun 2016, kemungkinan besar ia melibatkan kenaikan sebanyak 5%.
Malah, ekoran kenaikan kadar yang bakal dilakukan ini, kemungkinan besar PLUS juga akan melakukan semakan semula penstrukturan tersebut setiap tiga tahun sekali.
Menurut penjanjian konsesi, Jambatan Pulau Pinang akan terkecuali dalam semakan tersebut dalam tempoh masa konsesi.
Lebuhraya kendalian PLUS ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban Port-Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.